TERENGGANU City FC masih berhutang dengan pemain.
Syazwan Msar


JANGAN terlalu menarik nafas lega apabila pembayaran tunggakan gaji berjumlah RM2,517,959.40 menerusi deposit setiap pasukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini hanyalah sebahagian kecil daripada RM13 juta tunggakan keseluruhan membabitkan lapan pasukan itu.

Malah, daripada lapan pasukan terbabit hanya dua atau tiga pasukan berjaya menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan jurulatih manakala selebihnya perlu bergantung kepada pengurusan masing-masing bagi melangsaikan baki berkenaan.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata, baki tunggakan gaji berkenaan rata-rata ‘diwarisi’ oleh pasukan Hanelang, Marcerra United, Kuantan United dan Terengganu City FC yang sudah ‘lesap’ daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Katanya, ada antara wang berkenaan hanya boleh membayar tunggakan dua atau tiga bulan gaji saja manakala selebihnya mereka mengharapkan sumber lain seperti geran tahunan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi melangsaikan hutang itu.

“Rata-rata sebahagian besar hutang masih berbaki itu daripada pasukan yang bukan lagi bersaing dalam Liga M manakala ada beberapa pasukan lagi masih mempunyai tunggakan membabitkan pemain dan jurulatih.

“Pengurusan pasukan sepatutnya lebih bertanggungjawab dan inisiatif FAM sebagai langkah memastikan tunggakan pemain serta jurulatih dibayar terus kepada mereka,” katanya, kepada Arena Metro, kelmarin.

Arena Metro melaporkan lapan pasukan mengalami tunggakan gaji bersama pasukan masing-masing mampu menarik nafas lega apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membayar gaji pemain yang dikreditkan terus ke akaun mereka.

Keseluruhan jumlah pembayaran RM2,517,959.40 dibuat menggunakan deposit setiap pasukan yang disimpan boleh badan induk itu serta wang lain yang dipegang sebelum ini.

Bagaimanapun, Stuart menegaskan ia bukan bermakna keseluruhan tunggakan gaji pemain dan pegawai sudah diselesaikan kerana jumlah tunggakan dinyatakan berdasarkan jumlah deposit dan lain-lain wang yang dipegang FAM ke atas setiap pasukan terbabit.

“Saya berharap pengurusan setiap pasukan lebih komited dalam menyelesaikan segera tunggakan gaji pemain serta jurulatih masing-masing bagi mengelak timbul masalah lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 6:00 AM