Pemain Atalanta, Marten De Roon (kiri) dan Sampdoria, Karol Linetty beraksi dalam perlawanan Serie A di Stadium Luigi Ferraris, Genoa, Itali. FOTO EPA.
Reuters

JURULATIH Atalanta, Gian Piero Gasperini menafikan dia bertindak menampar salah seorang pegawai Sampdoria di terowong pemain selepas di perintah keluar ketika pasukannya menang, 2-1 dalam saingan Serie A, awal pagi ini.

Gasperini, diperintah keluar dari Stadium Luigi Ferraris Sampdoria selepas dia membantah keputusan pengadil perlawanan memberi penalti kepada tuan rumah. Laporan kemudian menyatakan dia berjalan ke terowong dengan diiringi setiausaha kelab Sampdoria, Massimo Lenca.

“Saya sangat mengenali Lenca, dia berada di depan saya dan menghalang laluan berkenaan. Saya cuma menyentuhnya supaya memberi laluan ke tepi,” kata Gasperini dalam sidang media selepas perlawanan itu.

“Hanya itu yang berlaku - yang lain hanya laungan sorakan dan tarian.”


QUAGLIARELLA (kiri) diasak pemain Sampdoria di Genoa. - FOTO Agensi

Bagaimanapun, Sampdoria memberi maklumat versi berbeza. “Tidak ada laungan sorakan, tarian atau tindakan provokasi,” kata pengarah kelab Antonio Romei.

“Ada saksi memberitahu ia adalah tindakan menampar. Persekutuan akan melakukan kerja mereka.”

Duvan Zapata memastikan Atalanta di depan menerusi gol ke-17 musim ini ketika lima minit selepas separuh masa kedua bermula. Sebelum Sampdoria diberikan penalti minit ke-67 selepas Gaston Ramirez dijatuhkan oleh Alejandro Gomez.

Ia sepatutnya tidak diberikan penalti dan Gasperini mendakwa pengadil tidak melihat kejadian itu semula menerusi monitor berhampiran padang.

Fabio Quagliarella mencetak gol ke-20 untuk musim ini sekali gus meletakkannya pendahulu penjaring gol Serie A, namun Robin Gosen memastikan kemenangan Atalanta menerusi jaringan pada minit ke-77.

Kemenangan itu meletakkan Atalanta di tangga ke tujuh dengan 44 mata, enam mata untuk slot layak di Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 11:56 AM