HARISS (kiri) ketika menjawab soalan wartawan di Johor Bahru, hari ini. — FOTO BERNAMA
Rizar Mohd Noor


KAPTEN Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun menyatakan hanya kesungguhan dan permainan lebih 100 peratus mampu membantu pasukannya mengatasi Gyeongnam FC pada aksi Liga Juara-Juara Asia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Malah pemain kebangsaan Singapura itu tidak menafikan ia perlawanan sukar buat JDT namun apa jua kesukaran yang akan ditempuhi mampu diatasi hasil kerjasama sepasukan.

“Ia cabaran besar buat kami kerana menentang kelab dari Korea Selatan dalam saingan tertinggi bola sepak kelab Asia. Sudah tentu ada tekanan buat kami apabila turun beraksi malam esok.

“Namun kami anggap aksi pertama ketika tewas tipis 1-2 kepada Kashima Antlers membuktikan kami mampu memberi tentangan dan ia juga bagaikan memberi keyakinan apabila menentang Gyeongnam.

“Malah saya lihat moral dan semangat setiap pemain untuk berdepan kelab dari Korea Selatan tampak begitu tinggi dan harap ia berterusan apabila turun beraksi tanpa ada sebarang tekanan yang boleh mengganggu gugat rentak permainan,” katanya.

Ditanya sama ada JDT kekurangan perancang di posisi tengah, Hariss menolak tanggapan itu sebaliknya menegaskan siapa sahaja pemain yang diturunkan di posisi itu mampu menjana gerakan.

Malah katanya, corak permainan JDT berbeza dan mengikut keperluan taktikal jurulatih dan pemain yang diturunkan memahami kehendak perancangan yang dilakukan walaupun tanpa pemain yang dianggap ‘jeneral padang’.

“Tanpa perancang tengah tidak semestinya posisi tengah akan mati. Sebaliknya pemain di posisi tengah tetap akan memainkan peranan sebagai pencetus gerakan dan kami sentiasa cuba memperbaikinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 7:29 PM