HAFIZH akhiri perlumbaan di Losail di tangga ke-20. — FOTO Red Bull KTM Tech3
BERNAMA

MASALAH jentera menjejaskan prestasi pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah pada perlumbaan pertama Kejohanan Motosikal Dunia di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, awal pagi tadi.

Hafizh yang mewakili pasukan Red Bull KTM Tech 3 menamatkan perlumbaan di tempat tercorot dengan masa 43 minit 20.144 saat manakala rakan sepasukannya Miguel Oliveira dari Portugal berada di kedudukan ke-17.

“Alhamdulillah, saya dapat menamatkan perlumbaan pada pusingan pertama musim ini. Saya akui keputusan yang diperoleh bukan seperti yang disasarkan. Saya masih tidak dapat rentak dengan jentera ini. Ia amat sukar.

“Saya minta maaf kepada penyokong dan pasukan kerana prestasi tidak memberangsangkan pada perlumbaan pertama ini. Saya amat menghargai sokongan anda. Saya akan teruskan usaha dan bekerja keras selepas ini,” katanya dalam akaun Instagram @hafizh_syahrin hari ini.

Perlumbaan itu dimenangi penunggang Itali, Andrea Dovizioso dengan masa 42:36.902s diikuti juara dunia, Marc Marquez dari Sepanyol dengan masa 42:36.925s.

Cal Crutchlow dari Britain melengkapkan podium dengan masa 42:37.222s.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 9:51 PM