PEMILIK Valladolid, Ronaldo sedia adakan kerjasama dengan JDT. FOTO Johor Southern Tigers
Syazwan Msar


PEMAIN Johor Darul Ta’zim (JDT) patut bersemangat apabila turun menentang Gyeongnam FC pada aksi Liga Juara-Juara Asia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam ini.

Apa tidaknya, jika sebelum ini bintang legenda dari Portugal, Luis Figo pernah hadir ke stadium itu, kali ini bintang Piala Dunia Brazil, Ronaldo memeriahkan suasana di Larkin.

Ronaldo, pemilik kelab La Liga, Real Valladolid datang untuk mengadakan perbincangan dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi membincangkan kemungkinan pemain muda JDT menimba ilmu dengan skuad Real Valladolid B yang beraksi dalam saingan divisyen dua Sepanyol.

Ronaldo menamatkan karier dengan 412 gol dalam 601 perlawanan sudah cukup untuk diiktiraf antara pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dunia.

Sebaik tiba di Johor Bahru, Ronaldo dibawa melihat prasarana dimiliki JDT di pusat latihan Padang Seri Gelam, hari ini.

“Bertambah menarik, satu lagi sejarah yang cukup manis buat JDT apabila Pemain Terbaik Dunia tiga kali yang pernah bermain untuk Barcelona, Real Madrid, AC Milan and Corinthians akan menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara Asia menentang kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC malam ini.

“Ayuh penyokong Harimau Selatan, kita penuhkan sekali lagi Stadium Larkin malam ini dan berikan sokongan padu anda kepada JDT kerana mereka memerlukan sokongan keramat anda sebagai pemain ke-12 serta jadilah sebahagian daripada sejarah berharga ini. Luaskan Kuasamu Johor,” menurut kenyataan dalam laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Ronaldo pernah beraksi di negara ini apabila Brazil mengalahkan Malaysia 4-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil menjelang Piala Dunia 2002 Korea/Jepun yang akhirnya dimenangi mereka buat kali kelima.

Sebelum ini, Luis Figo pernah hadir ke Larkin untuk menyaksikan Perlawanan Sumbangsih pembuka tirai musim Liga Malaysia antara JDT menentang Perak, awal bulan lalu.


RONALDO (dua kanan) sempat melawat Padang Seri Gelam hari ini. FOTO Johor Southern Tigers

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 6:00 PM