DIOGO (kiri) berebut bola dengan pemain Gyeongnam FC, Song Ju Hun di Larkin, malam ini. — FOTO Hairul Anuar Rahim
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bangkit memaksa keputusan seri 1-1 dengan Gyeongnam FC pada aksi Kumpulan E saingan Liga Juara-Juara Asia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Ia mata sulung buat skuad Harimau Selatan yang bersaing julung kali pada pertandingan elit kelab Asia menentang naib juara Liga 1 Korea Selatan musim lalu.

Malang buat penjaga gol, Farizal Marlias yang terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan ketika sesi memanas badan dan memaksa jurulatih Benjamin Mora meletakkan Izham Tarmizi Roslan selaku penjaga gol utama.

Sebaik aksi bermula, skuad Harimau Selatan tampak garang melakukan beberapa serangan dengan gerakan daripada pemain sayap Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid bagi membantu penyerang Diogo Luis Santo.

Percubaan awal anak didik Mora hadir pada minit ke-13 selepas bola umpanan Diogo menyaksikan Safawi yang tidak dikawal melakukan sepakan lencong ke penjuru kanan gol memaksa penjaga gol, Lee Bum Soo merebahkan badan untuk menepis bola keluar.


TAE Hwi (dua kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. — FOTO Hairul Anuar Rahim

Asakan berterusan tuan rumah nyata mengundang cemas buat skuad kendalian Kim Jong Pu tatkala aksi memasuki minit ke-24 selepas bola sepakan lintang S Kunanlan disambar Diogo yang sempat melakukan rembatan libas namun bola melepasi palang gol.

Ketika aksi memasuki minit ke-34, sekali lagi Mora terpaksa melakukan rombakan selepas kehilangan Kunanlan yang mengalami kecederaan dan posisi pertahanan kanan diganti oleh Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Bersambung babak kedua, pelawat mula meningkatkan tempo permainan dan memecah kebuntuan pada minit ke-52 menerusi Kwak Tae Hwi yang menanduk bola sepakan sudut Lee Yeong Jae.

Tuan rumah akhirnya menyamakan kedudukan apabila sepakan sudut Safawi terkena tangan Song Ju Hun dan pengadil Mohanad Qasim dari Iraq tidak teragak-agak memberi sepakan penalti pada minit ke-68 yang disempurnakan oleh Diogo.

Gol kedua sepatutnya mampu diraih JDT namun hasrat itu tidak kesampaian apabila bola rembatan Safawi singgah di tiang kanan gol dan rembatan susulan Gonzalo Cabrera terkena palang gol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 11:04 PM