YUSRI ketika perlawanan antara Kuala Lumpur menentang Pahang Unifi Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. -Foto Asyraf Hamzah
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Tidak wajar hanya menyalahkan jurulatih punca kekalahan sesebuah pasukan.

Itu pandangan bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali mengenai senario terbaharu Liga Malaysia (Liga M) yang menyaksikan ketua jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah terpaksa ‘angkat kaki’ selepas skuadnya merekodkan lima kekalahan berturut-turut.

Menurutnya, beliau berpendapat kebanyakan jurulatih Liga M berpengalaman dan pernah mengecapi pelbagai kejayaan.

“Tapi, apa yang kita tahu pemain sekarang tidaklah sampai kepada kualiti yang dikehendaki dan memuaskan hati pengurusan.

“Pengurusan sepatutnya faham dan beri kerjasama kepada jurulatih mengendalikan pasukan untuk satu musim. Mungkin mereka akan bawa perubahan kepada pasukan itu, tapi bila semua kekalahan dipertanggungjawabkan kepada jurulatih, itu memang salahlah,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan kekalahan lima perlawanan Liga Super berturut-turut menyebabkan Yusri terpaksa angkat kaki.

Yusri menyatakan peletakan jawatannya bukan atas desakan mana-mana pihak tetapi atas kemahuan sendiri.

Bekas jurulatih Kelantan itu tidak mampu membantu pasukan City Boys meraih mata dalam lima aksi awal apabila tewas kepada Pahang (1-3), Johor Darul Ta’zim (1-4), Terengganu FC (0-1), Melaka (0-2) dan terbaharu Selangor (2-3).

Dilaporkan penyokong Kuala Lumpur turut mendesak Yusri berundur, sekali gus bertanggungjawab terhadap persembahan buruk pasukan itu.

Sementara itu, Khalid berkata, pengurusan sesebuah pasukan perlu memberi kepercayaan penuh kepada jurulatih menjalankan tugas mereka.

“Jika rasa pertukaran beri impak yang baik, kena tunggulah dan beri kepercayaan kepada jurulatih. Sebagai jurulatih profesional, mungkin perlu masa sedikit untuk memantapkan pasukan.

“Selalu tukar jurulatih dalam masa terdekat mungkin ada kepincangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pemain Kuala Lumpur dilihat tidak mampu bertahan dengan baik untuk 90 minit sehingga tewas akhirnya kepada Selangor tempoh hari.

“Taraf pemain muda sekarang tidak sampai 90 minit, sepatutnya dengan mendahului 2-0 boleh menang tapi kerana mentaliti, Selangor menang 3-2.

“Kita lihat pemain sekarang juga tidak berubah. Pemain lama masih bermain di Liga Super sebab kita tiada pemain muda yang boleh bersaing misalnya dengan Syukur Adan dan Syafiq Rahim,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 6:00 AM