Angel Di Maria (kanan) menjaringkan satu gol ketika PSG menewaskan Dijon (DFCO), 4-0 di Stadium Gaston-Gerard, Dijon. FOTO AFP.
AFP

PARIS Saint-Germain (PSG) melupakan sementara kekecewaan dalam aksi Liga Juara-Juara dan meneruskan penguasaan di Ligue 1 Perancis apabila membelasah Dijon, 4-0, awal pagi ini.

Marquinhos, Kylian Mbappe, Angel Di Maria dan Eric Maxim Choupo-Moting masing-masing menjaringkan gol buat PSG dalam perlawanan pertama selepas tersingkir dari saingan kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara ketika tewas kepada Manchester United minggu lalu.

Kemenangan itu membolehkan pasukan di bawah kendalian Thomas Tuchel mendahului 17 mata daripada pasukan di tangga kedua Lille, dan dengan kelebihan beraksi kurang satu perlawanan.


Pemain Dijon, Cedric Yambere (tengah kiri) menghalang penyerang PSG, Kylian Mbappe (tengah kanan) pada perlawanan Ligue 1 Perancis. FOTO AFP.

PSG turut berdepan saingan separuh akhir Piala Perancis bulan depan, mungkin mampu merangkul dua kejuaraan domestik namun keghairahan mereka tidak begitu tinggi dengan keutamaan kelab itu sejak sekian lama adalah memperbaiki pencapaian di peringkat Eropah.

“Ia adalah langkah pertama untuk menunjukkan kami boleh menjadi pasukan juara. Ia tindak balas yang sangat baik,” kata Tuchel.

“Kami masih mempunyai objektif dan kami mahu menang liga dan piala itu.”

PSG akan melayan kunjungan Marseille minggu ini.

“Saya mahu penyokong kami menunjukkan mereka sentiasa bersama kami. Itu adalah perkara yang perlu dilakukan,” kata Tuchel.

“Satu keputusan VAR tidak mengubah semua itu. Penyokong sangat kecewa, seperti kami, tetapi ini masanya untuk membuktikan kami bersatu.”

Merujuk kepada penyingkiran Liga Juara-Juara, dan ia perkara lumrah, pengendali Jerman itu menambah : “Kami harus menerima keputusan itu adalah berlaku tanpa disengajakan. Kita harus tenang dan kekalkan keyakinan dalam pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 10:42 AM