CHONG Wei beraksi ketika mengalahkan pemain Jepun, Kento Momota pada final Terbuka Malaysia tahun lalu. — FOTO Eizairi Shamsudin
CHONG Wei beraksi ketika mengalahkan pemain Jepun, Kento Momota pada final Terbuka Malaysia tahun lalu. — FOTO Eizairi Shamsudin
Azlan Muhammad Zain


DATUK Lee Chong Wei perlu mendapat lampu hijau doktor yang merawatnya sebelum boleh turun beraksi pada Terbuka Malaysia, bulan depan.

Ia dijelaskan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengenai penyertaan bekas pemain nombor satu dunia itu pada kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 750 dari 2 hingga 7 April ini di Arena Axiata, Bukit Jalil.

Berdasarkan undian Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, Chong Wei dijadual bertemu pilihan kelapan dari India, K Srikanth pada pusingan pertama kejohanan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$700,000 (RM2.86 juta) itu.

“Dia memang memang mahu beraksi pada kejohanan pertamanya di sini selepas berehat panjang namun perlu mendapatkan kebenaran doktor yang merawatnya di Taiwan,” kata Norza selepas mesyuarat lembaga eksekutif Majlis Olimpik Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Norza, kesihatan Chong Wei lebih penting dan semua pihak perlu berlaku adil kepadanya.

“Biar dia sembuh dulu kerana banyak perkara yang perlu dilaluinya dalam proses pemulihan kanser hidung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 8:56 PM