ANTARA jurulatih yang dilayangkan kad merah. FOTO/AGENSI
Syazwan Msar


AWAS kepada pengurus, barisan kejurulatihan dan pemain simpanan yang buat ‘perangai’ di tepi padang kerana anda bakal dilayangkan kad kuning atau merah oleh pengadil seterusnya diarahkan keluar dari kawasan bangku simpanan.

Itu antara lima peraturan baharu yang bakal diperkenalkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam tempoh tiga hingga lima bulan lagi bagi memastikan Liga Malaysia (Liga M) lebih sistematik dan terkawal.

Selain itu, jaringan gol yang terhasil walaupun terkena tangan pemain dalam keadaan sengaja atau sebaliknya turut tidak akan dikira.

Ini termasuk kes sekiranya bola terkena tangan pemain sebelum dia melakukan bantuan jaringan kepada rakan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, peraturan baharu itu diperkenalkan Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) dan wajib diguna pakai oleh semua badan induk bola sepak setiap negara.


KEVIN.

Beliau berkata, setakat ini Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) belum mengeluarkan surat pekeliling berkaitan pelaksanaan peraturan baharu terbabit, namun pihaknya sudah sedia maklum berkaitan perkara terbabit.

“Peraturan baharu itu wajib dipraktikkan kepada badan induk bola sepak negara yang bernaung dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan kita hanya menunggu surat pekeliling daripada AFC bagi melaksanakannya.

“Namun, perkara itu perlu dilakukan secara berperingkat dengan memastikan pengadil perlu mengetahui secara terperinci peraturan terbabit bagi mengelak masalah lain timbul nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, IFAB yang bersidang awal Mac lalu memutuskan lima peraturan baharu akan diperkenalkan mulai tahun ini khusus bagi menambah baik mutu perlawanan dengan meminimum pembaziran masa.

Antara peraturan lain yang diperkenalkan itu adalah benteng sepakan percuma hanya dibarisi oleh pemain lawan tanpa diganggu oleh pemain lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 8:20 AM