PEMAIN skuad B-23 menjalani latihan di Stadium Shah Alam bagi persiapan aksi persahabatan menghadapi Australia. -Foto SYARAFIQ ABD SAMAD
Syazwan Msar


NASIB tiga pemain skuad Bawah 23 (B-23) bakal ditentukan sekurangnya untuk tempoh dua hari selepas mereka mengalami kecederaan ringan sekali gus terlepas peluang beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang B-23 Australia esok.

Pengendali skuad B-23 Datuk Ong Kim Swee berkata, kecederaan yang menimpa R Kogileswaran, Mohamad Faisal Abdul Halim dan Dominic Tan bakal menyebabkan mereka diketepikan untuk perlawanan persahabatan esok.

Katanya, pemain berkenaan kemungkinan akan pulih dalam tempoh dua hari namun perlu pemantauan berterusan bagi memastikan mereka boleh menggalas cabaran mengharungi perlawanan pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 22 hingga 26 Mac nanti.

“Setakat ini ada tiga pemain yang cedera sekali gus ambil masa dua atau tiga hari untuk pulih dan saya juga perlu melihat keadaan mereka sama ada boleh bermain atau sebaliknya.


ONG KIM SWEE

“Mereka juga perlukan masa untuk kembali cergas dan menjalani latihan seperti biasa dan berharap boleh pulih sebelum pemilihan senarai akhir 23 pemain,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Shah Alam, di sini, semalam.

Malaysia yang layak hingga ke suku akhir pada edisi tahun lalu di China sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh Korea Selatan, berada dalam Kumpulan J bersama-sama Filipina, Laos dan China dengan juara setiap kumpulan akan layak automatik ke pusingan akhir di Bangkok, Thailand.

Sendainya skuad negara gagal berada di kedudukan teratas kumpulan, anak buah Kim Swee masih boleh mara dengan syarat perlu muncul empat pasukan naib juara terbaik daripada 11 kumpulan.

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan persahabatan dengan skuad B-23 Australia, Kim Swee memaklumkan keutamaannya adalah lebih kepada mencari ‘resipi’ terbaik dalam mencorak pasukan sebagai persiapan pusingan kelayakan AFC nanti.

“Saya melihat pemain memerlukan sedikit masa lagi untuk mencari persefahaman antara mereka dan perkara itu dapat diselesaikan selepas melalui siri perlawanan persahabatan dan latihan intensif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 9:31 PM