PEMAIN Liverpool meraikan jaringan Mane. -Foto AFP
Reuters

PENYELAMAT Liverpool Sadio Mane menjaringkan satu gol dan menggalas tugas penting dalam gol berikutnya apabila kembali merampas takhta Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan kedua tercorot Fulham malam ini.

Pada mulanya ia kelihatan seperti yang yang mengecewakan buat skuad Juergen Klopp apabila gol awal Mane dipadamkan Ryan Babel susulan kesilapan Virgil van Dijk, namun pemain gantian James Milner menjaringkan penalti pada minit ke-81 untuk membolot tiga mata.

Liverpool mengumpul 76 mata dalam 31 perlawanan, lebih dua bebanding Manchester City yang berkelebihan satu perlawanan.

Fulham memiliki 17 mata dan berdepan misi getir jika mahu mengelak tersingkir daripada liga utama itu.

Mane meledak gol kesembilan peribadinya musim ini apabila memberikan mata pendahuluan buat pelawat pada minit ke-26 dengan penyudah menarik, yang menepati ciri mentaliti penyerang di bawah Klopp.

Penyerang Senegal itu saling bertukar hantaran dengan Roberto Firmino sebelum meledak gol sejauh lapan meter mengatasi penjaga gol Fulham Sergio Rico, yang kemudiannya menafikan percubaan Andy Robertson dan Van Dijk pada kedua-dua separuh masa.

Kesilapan Van Dijk memberikan Fulham gol penyamaan pada minit ke-78, apabila tandukan lemahnya ke arah penjaga gol Alisson Becker berjaya dipintas bekas pemain sayap Liverpool Babel yang mudah merembat bola ke gawang.

Satu lagi kesilapan, kali ini oleh Rico menentukan keputusan perlawanan ketika penjaga gol berkenaan berjaya menghalang percubaan Mohamed Salah dan kemudian menjatuhkan Mane yang cuba mendapatkan bola itu, sebelum Milner menjaringkan gol menerusi penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 12:49 AM