X
AKSI Sterling menjaringkan gol ketiga England di Stadium Wembley, London. - FOTO AFP
AKSI Sterling menjaringkan gol ketiga England di Stadium Wembley, London. - FOTO AFP
Reuters

PENGURUS England, Gareth Southgate kagum dengan sentuhan penyudah berbisa Raheem Sterling selepas penyerang Manchester City itu menjaringkan hatrik pertama antarabangsanya menewaskan Republik Czech 5-0 di Stadium Wembley, awal pagi tadi.

Penyerang England itu bersama Jadon Sancho kerap mengkucar-kacirkan pertahanan lawan di samping kapten Harry Kane tetapi Sterling yang paling menyerlah.

Pemain berusia 24 tahun itu menjaringkan gol pembukaan apabila menyempurnakan hantaran Sancho pada minit ke-23 dan kemudiannya mendapatkan penalti yang dijaringkan Kane sebelum rehat.

Sterling mengganas lagi pada babak kedua dengan dua jaringan dalam tempoh tujuh minit, pertama menerusi rembatan melencung dan kedua percubaannya terkena pertahanan lawan sebelum menerjah jaring.

Dia kemudiannya dikeluarkan oleh Southgate namun mendapat tepukan gemuruh penyokong di Wembley yang sebelum ini kerap mengkritik pemain itu.

"Saya rasa persembahan Raheem malam ini sangat bertenaga. Itulah yang dipamerkannya sepanjang minggu ini ketika sesi latihan. Saya bangga dengan dia, malam istimewa baginya," kata Southgate.

"Dia semakin matang sebagai seorang dewasa dan pemain bola sepak. Dia dahagakan jaringan dan sentuhan penyudahnya dilakukan dengan pantas dan tanpa mengambil masa panjang.”

Karier Sterling tidak menentu sejak kali pertama beraksi di peringkat antarabangsa pada 2012. Jaringan pertamanya hanya hadir pada penampilan ke-14 ketika England disingkirkan Iceland di Euro 2016.

Malah dia dikeluarkan ketika England menewaskan Tunisia pada aksi pembukaan Piala Dunia 2018 selepas mempamerkan aksi lesu.

Namun Sterling kembali mempamerkan karakter sebenar selepas Pep Guardiola menjadi pengurus baharu Manchester City dan prestasinya makin meningkat.

Selepas tiga tahun dan 27 penampilan bersama England tanpa sebarang gol, Sterling kini sudah menjaringkan lima gol dalam tiga perlawanan terakhir termasuk dua gol dalam aksi Liga Negara-Negara menewaskan Sepanyol 3-2 pada Oktober lalu.

Dia turut menjaringkan 15 gol dalam aksi Liga Perdana bersama City musim ini.

"Kemampuan Raheem tidak mengejutkan saya,” kata Southgate. "Tahap keyakinannya sangat tinggi ketika ini sama ada di atas mahupun di luar padang dan selesa dengan dirinya sendiri.

"Saya gembira dengan reaksi penyokong terhadap dirinya. Kami akui dia mempunyai masalah bersama England tetapi dia berjaya mengatasinya. Dia kini menjadi contoh kepada pemain muda yang lain.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 10:01 AM