OVECHKIN (memegang trofi) meraikan kejayaannya bersama pasukan dan peminat TSG tahun lalu. — FOTO Syarafiq Abd Samad
OVECHKIN (memegang trofi) meraikan kejayaannya bersama pasukan dan peminat TSG tahun lalu. — FOTO Syarafiq Abd Samad
BERNAMA

TERENGGANU Cycling Team (TSG) menyasarkan kelompok lima terbaik individu keseluruhan termasuk dua kedudukan podium pada perlumbaan berbasikal ​Le Tour de Langkawi (LTdL) dari 6 hingga 13 April ini.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, pasukan benua itu meletakkan sasaran sederhana kerana tidak mahu memberikan tekanan kepada pelumbanya pada edisi kali ini.

Berdasarkan pencapaian edisi lalu, katanya, sandaran diletakkan kepada Artem Ovechkin dan Drew Morey untuk peringkat pendakian manakala Harrif Saleh dan Youcef Reguigui untuk mengejar podium.

“Zamri Saleh masih dikekalkan sebagai kapten dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki akan memberi bantuan pada saat yang diperlukan pasukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasirudin berkata, TSG yang kini menduduki tangga kedua dalam ranking Jelajah Asia UCI dilihat mampu mempertahankan jersi kuning yang dimenangi Ovechkin tahun lalu.

HARRIF (kiri) antara ‘senjata’ penting TSG. — FOTO Amran Hamid
HARRIF (kiri) antara ‘senjata’ penting TSG. — FOTO Amran Hamid

Pada edisi kali ini, Ovechkin akan dibantu pelumba berpengalaman, Morey bagi merebut tempat pada saingan di peringkat pendakian Genting Highlands yang disenaraikan semula.

Khidmat pemenang edisi 2015, Youcef juga akan digunakan oleh TSG bagi merebut kelompok hadapan pada saingan henjutan beramai- ramai di peringkat laluan mendatar bersama Zamri dan pakar pecut negara, Harrif.

Saingan jelajah berbasikal tertua di Asia itu akan disertai 22 pasukan yang membabitkan lapan peringkat perlumbaan.

Perlumbaan akan bermula di hadapan Menara Berkembar PETRONAS Kuala Lumpur pada 6 April ini sebelum melabuhkan tirainya di Langkawi pada 13 April.

Peringkat pendakian di Genting Highlands setinggi 1,700 meter menjadi tarikan utama jelajah kali ini yang bermula dari Shah Alam pada peringkat empat dan menyusuri laluan pantai barat Semenanjung sejauh 1,250 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 9:29 PM