RONALDO menerima rawatan di Stadium Luz, Lisbon. - FOTO  AFP
RONALDO menerima rawatan di Stadium Luz, Lisbon. - FOTO AFP
Reuters

PORTUGAL hanya mampu seri 1-1 menentang Serbia dalam aksi kelayakan Euro 2020 di Lisbon awal pagi tadi namun keputusan itu dibayar dengan harga mahal selepas kapten mereka yang juga penjaring terbanyak Cristiano Ronaldo terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan hamstring.

Keputusan seri dalam Kumpulan B itu diikuti 0-0 menentang Ukraine pada Jumaat lalu menyebabkan juara Eropah itu hanya mengutip dua mata dan Ronaldo mengalami kecederaan pada minit ke-30 dan terpaksa menerima rawatan di tepi padang.

Pemain berusia 34 tahun itu terhincut-hincut ketika mengejar bola dan terpaksa digantikan pemain tengah Pizzi ketika Serbia mendahului menerusi penalti Dusan Tadic pada awal perlawanan.

Portugal menyamakan kedudukan pada minit ke-42 menerusi rembatan cantik jarak jauh pemain tengah Danilo tetapi skuad tuan rumah banyak melepaskan peluang selepas ketiadaan Ronaldo.

"Kami bermain baik dan mencipta banyak peluang. Prestasi kami lebih bagus daripada ketika menentang Ukraine tetapi bola tetap tak masuk ke gawang,” kata Ronaldo kepada wartawan.

Jurulatih Portugal, Mladen Krstajic pula menegaskan kecederaan Ronaldo bukan punca ketumpulan jentera serangan mereka tetapi skuadnya sudah pun kehilangan beberapa tonggak akibat kecederaan.

"Selain Ronaldo, kamu perlu tahu kami ketiadaan ramai pemain utama dan kami kekurangan pemain yang boleh diganti tidak seperti negara lain,” katanya.

Ronaldo yang kelabnya Juventus berkunjung ke Ajax Amsterdam dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara pada 10 April ini hanya melakukan penampilan kedua bersama Portugal sejak tamat Piala Dunia lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 8:01 AM