LEWIS Hamilton. FOTO Agensi
AFP

JUARA bertahan Lewis Hamilton memberi amaran kepada pasukannya Mercedes supaya berjaga-jaga pada Grand Prix Bahrain hujung minggu ini ketika Ferrari bertekad untuk bangkit selepas tewas pada aksi pembuka tirai Grand Prix Australia.

Hamilton yang menduduki tempa kedua selepas mengalami kerosakan kereta di belakang rakan sepasukan Valtteri Bottas, mengakui gembira namun terkejut dengan kejayaan Mercedes membolot mata maksimum di Melbourne.

Menurut juara lima kali itu, seperti juga pemerhati lain dia juga berpendapat Ferrari adalah pasukan terpantas pada sesi ujian pra-musim dan pasukan pilihan untuk menguasai Albert Park yang kemudiannya didominasi Bottas.

“Saya fikir semua orang terkejut dengan pencapaian kami di Australia,” katanya.

“Tiada siapa yang menjangkakan jurang seperti itu dengan Ferrari. Mereka berada di depan, itulah yang kami lihat sewaktu sesi ujian tetapi ia tidak menjadi pada hujung minggu.

“Kami melakukan tugas seperti biasa, tetapi saya pasti mereka akan bangkit. Jadi kami perlu bersedia dan berwaspada.”

Juara dunia empat kali dari Ferrari Sebastian Vettel, yang menduduki tangga keempat di belakang pelumba Red Bull Max Verstappen di Australia, akan memburu gelaran ketiga berturut-turut di Bahrain Ahad ini.

Seperti juga ketua pasukan baharunya Mattia Binotto, pelumba Jerman itu berharap aksi mengecewakan Ferrari di Australia hanya seketika.

“Di Bahrain, kami perlu memastikan bahawa kami memahami dan mengenalpasti kelemahan di Australia, yang menyebabkan kegagalan mengeksploitasi potensi kenderaan kami,” kata Binotto.

“Kami berharap dapat melihat kesan pembetulan yang dilakukan namun turut menyedari pesaing kami juga akan kekal mantap. Dengan memikirkan perkara itu, kami bersemangat untuk kembali ke litar dan menghadapi mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 8:21 AM