JDT bakal berdepan Kedah pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman. FOTO Aswadi Alias.
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta'zim (JDT) bukan sahaja akan berdepan barisan pemain Kedah malah perlu menangkis segala kritikan yang dilemparkan penyokong skuad Lang Merah apabila beraksi pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam esok.

Pemain Harimau Selatan yang akan diturunkan perlu `pekakkan telinga' bagi mengelak beraksi dalam tekanan tatkala berdepan sorakan puluhan ribu penyokong Lang Merah yang pasti bersorak bagi mematahkan semangat barisan bimbingan Luciano Figueroa.

Apa yang perlu dilakukan barisan pemain JDT adalah turun dengan satu misi bagi mencipta kemenangan ke atas skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak untuk terus menguasai persada liga dan menjarakkan mata dengan pencabar terdekat, Pahang.

Sepanjang enam pertembungan Harimau Selatan dan Lang Merah sejak 2013, juara liga lima musim berturut-turut melakar tiga kemenangan, tiga keputusan seri dan rekod pertembungan itu tampak seimbang memandangkan Kedah pasti turun habis-habisan untuk menidakkan penguasaan JDT di persada liga.

Selepas mengharungi enam perlawanan, JDT kini mengumpul 16 mata hasil lima kemenangan dan satu seri manakala Pahang mengekori rapat apabila mengutip 14 mata dengan empat kemenangan dan dua seri.

Kelibat Natxo Insa yang agak lama tidak diturunkan selepas mengalami kecederaan ketika menentang Perak pada saingan Piala Sumbangsih, 2 Februari lalu dan hanya diturunkan dalam tempoh singkat pada aksi menentang Gyeongnam FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dijangka kembali menguatkan barisan utama.

JDT juga akan mendapat semula khidmat Safawi Rasid yang kembali daripada tugasan skuad Bawah 23 tahun negara yang menamatkan saingan Kumpulan J Kelayakan Piala Asia Bawah 23 selain kelibat Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan yang turut kembali menyertai latihan bersama JDT.

Apapun ia bergantung kepada perancangan Figueroa sama ada mahu menyenaraikan Safawi dalam kesebelasan utama atau menggunakan khidmat pemain lain bergandingan bersama Gonzalo Cabrera dan Diogo Luis Santo menguatkan jentera serangan.

Namun di sebalik keinginan Harimau Selatan mencari kemenangan, juara liga lima musim berturut-turut tidak boleh bersikap sambil lewa malah harus berhati-hati dengan taktik dan helah permainan Kedah yang pasti akan turun habis-habisan memburu kemenangan di laman sendiri.

Kelicikan kapten Baddrol Bakhtiar harus disekat memandangkan pemain itu berkebolehan melakukan umpanan bola yang mengelirukan dan pantas merembat bola dari luar kotak penalti dan boleh memerangkap penjaga gol JDT sama ada dikawal Farizal Marlias atau Izham Tarmizi Roslan.

Sememangnya pertembungan JDT dan Kedah boleh dianggap perlawanan `epik' memandangkan kedua-dua pasukan memiliki reputasi tersendiri dan Figuerao harus merencana strategi ampuh untuk membawa pulang tiga mata dan seterusnya kekal di tangga teratas liga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 12:07 PM