BADDROL (kiri) membuat percubaan ketika menentang PKNS awal bulan ini. — FOTO Amran Hamid
BERNAMA

KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar berharap skuad Lang Merah dapat mempertahankan rekod tanpa bolos bermain di tempat sendiri menjelang aksi sengit bertemu juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam esok.

Bekas pemain kebangsaan itu bagaimanapun sedar ia bukan satu tugas mudah berdepan JDT yang memiliki rekod jaringan cemerlang selepas meledak 16 gol sepanjang enam perlawanan.

Sebagai rekod, Kedah menang 4-0 ke atas FELDA United dan seri tanpa jaringan dengan PKNS FC dalam dua aksi di Darul Aman setakat ini.

“Sudah pasti aksi bertemu JDT sentiasa memberikan saingan dan saya harap kami masih berupaya mempertahankan rekod tanpa bolos di Darul Aman.

“Ia sedikit sebanyak memberikan motivasi kepada kami tapi kami sedar ia bukan satu tugas mudah kerana JDT memiliki rekod jaringan yang lebih baik tapi kami bersedia untuk merakam keputusan positif,” katanya.

Dalam pada itu, Baddrol berharap aksi berdepan skuad Harimau Selatan dapat dijadikan medan kebangkitan Kedah selepas tewas 0-1 di tangan Pahang di Kuantan 8 Mac lalu.

“Kedah mahu kekal lebih konsisten dan saya akui kecewa apabila kami tewas kepada Pahang pada perlawanan terdahulu dan sudah pasti Kedah mahu mendapatkan tiga mata bertemu JDT.”

Kedah kini menghuni tangga ketiga Liga Super dengan 11 mata manakala JDT dan Pahang berada di tangga pertama dan kedua dengan 16 dan 14 mata selepas enam perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 11:20 PM