LECLERC beraksi ketika sesi latihan bebas pertama di Litar Sakhir, hari ini. — FOTO Reuters
AFP

CHARLES Leclerc, yang hanya bertanding minggu kedua dalam Formula Satu, mengungguli catatan masa di depan rakan sepasukannya Sebastian Vettel ketika Ferrari mendominasi sesi latihan bebas pertama Grand Prix Bahrain, hari ini.

Dengan suhu litar mencecah 48 darjah Celsius, dua pemandu Ferrari itu mengatasi catatan pemandu Mercedes, Valtteri Bottas dan juara dunia lima kali Lewis Hamilton, yang ketinggalan 0.974 dan 1.247 saat di tangga ketiga dan keempat.

Max Verstappen di tangga kelima di depan rakan sepasukan Red Bull, Pierre Gasly, diikuti Carlos Sainz dari McLaren, Nico Hulkenberg dari Renault, Daniil Kvyat dari Toro Rosso dan Kimi Raikkonen yang memandu Alfa Romeo.

Tidak banyak insiden besar pada sesi itu hinggalah perlanggaran membabitkan pemandu Jerman, Hulkenberg dan seorang lagi pemandu Alfa Romeo dari Itali, Antonio Giovinazzi, pada saat-saat akhir.


BOTTAS muncul pemandu ketiga terpantas di belakang dua jentera Ferrari. — FOTO EPA

Bagaimanapun kedua-dua pemandu tidak cedera selepas mereka berlaga ketika Giovinazzi cuba memintas jentera Renault.

Leclerc, pemandu berusia 21 tahun dari Monaco, berada pada prestasi mengagumkan apabila dia mengatasi Vettel dengan perbezaan 0.263 saat di Litar Sakhir. Leclerc mencatat satu minit 30.354 saat.

Terdahulu Bottas muncul pemandu terpantas di litar ketika dia bertindak yakin selepas kemenangannya pada perlumbaan pembuka tirai musim GP Australia manakala Hamilton, bergelut dengan keseimbangan belakang keretanya, cuba memintas pemandu Finland itu hinggalah dua pemandu Ferrari tampil memperagakan kepantasan sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 10:03 PM