Penyerang Kelantan, Raul Andres Tarragona Lemos diasak pertahanan Terengganu FC II, pada perlawanan Liga Premier Malaysia 2019, di Stadium Sultan Mohd IV. FOTO Fathil Asri.
Attirmidzie Rahman

PENGENDALI Kelantan, Marco Kraljevic kecewa dengan barisan pemainnya yang mudah hilang fokus dan ketumpulan jentera serangan apabila pasukannya sekadar mengutip satu mata hasil keputusan seri 1-1 berdepan Terengganu FC II (TFCII) pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Kraljevic berkata, keputusan itu sekali gus membuktikan moral dan semangat pemain agak goyah walaupun mendahului seketika 1-0 selepas TFC II menyamakan kedudukan selang tiga minit selepas itu.

Katanya, bagaimanapun penampilan pertama, Mohd Badhri Radzi atau lebih dikenali Piya berjaya memberi impak positif terutama menghidupkan jentera tengah pasukan.

"Saya sedikit kecewa dengan keputusan ini selepas segala perancangan yang dilakukan gagal diikuti sebaiknya terutama jentera serangan yang gagal menyudahkan peluang terhidang.

"Namun saya memberi pujian kepada semua pemain atas kesungguhan untuk menjaringkan gol namun jentera serangan sedikit goyah apabila gagal menterjemahkan gol walaupun berpeluang menambah jaringan.

"Pasukan tidak boleh leka dengan keputusan ini, kerana perlu menempuhi banyak lagi perlawanan yang akan menentukan kedudukan kita dalam carta liga," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Pada perlawanan itu, Kelantan terpaksa menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan penyerang import dari Uruguay, Raul Tarragona pada minit ke-19.

Namun selang dua minit pemain tengah TFCII, Zuasyraf Zulkiefle, menyamakan kedudukan apabila sepakan derasnya menewaskan penjaga gol The Red Warriors (TRW), Arif Abdullah bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Sementara itu, Ketua jurulatih TFC II, Tengku Hazman Raja Hasan berkata, biarpun ketinggalan 0-1, dia tetap bangga dengan prestasi pemain muda yang berjaya menyaingi kehebatan pemain Kelantan yang rata-rata dibarisi pemain muda berpengalaman.

 "Apapun, keputusannya saya yakin dengan kemampuan gandingan pemain muda dan import memberikan impak positif kerana berjaya mencuri sekurang-kurangnya satu mata berharga di tempat lawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 12:13 PM