AKSI Melaka menentang Perak semalam. FOTO/ MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my


JURULATIH Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan kecewa dengan ketumpulan jentera serangan selepas gagal meledak jaringan ketika berdepan Perak di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam tadi.

Memiliki deretan peluang terutama pada babak kedua, anak buahnya tidak mampu menembusi kubu lawan yang dikawal dengan begitu baik bekas penjaga gol MU, Hafizul Hakim Nizam Jothy.

Bagaimanapun, beliau akur dengan keputusan seri tanpa jaringan terbabit tambahan selepas pemain berusaha gigih untuk menerobos kubu lawan namun rezeki gol yang dicari tidak menjelma sehingga tamat 90 minit permainan.

Menurutnya, terdapat banyak peningkatan pasukan selepas aksi terakhir tiga minggu lalu berdepan Terengganu terutama ketika mempertahankan kubu daripada dibocori.

"Disiplin dan konsep bertahan amat efektif sehingga pelawat gagal untuk menjaringkan gol namun saya sedikit kecewa banyak peluang terhidang gagal direalisasi dengan jaringan.

"Ia juga turut berpunca daripada kecederaan pemain sayap kanan, Ramzi Haziq Mohamad pada episod pertama selain Darko Markovic pada masa kedua selain faktor kesungguhan The Bos Gaurus menutup ruang," katanya.

Dalam aksi itu skuad Hang Tuah memiliki tiga peluang terbaik mencipta jaringan pada minit ke-40, 44 dan 45 menerusi Safiq Rahim dan Anselmo Casagrande.

Safiq dan import Brazil terbabit juga hampir meledak gol berharga buat tuan rumah pada minit ke-46, 50 dan 52 namun kecekapan Hafizul menjadi penghalang selain percubaan mereka turut tersasar.

Tiga peluang Perak juga menjelma pada minit ke-55, 71 dan 82 menerusi Gilmar Da Silva Filho dan Wander Junior namun ia tidak mampu mengugat kekebalan jentera pertahanan MU daripada dibolosi.

Sementara itu jurulatih Perak, Mehmed Durakovic tetap berpuas hati dengan persembahan pasukannya menerusi keputusan terbabit.

Katanya, MU sebuah pasukan yang bagus menerusi kehadiran pemain terbaik dan berpengalaman termasuk barisan tempatan dan import.

"Kejayaan membawa pulang satu mata dari gelanggang lawan adalah petanda positif buat Perak untuk terus mendaki takhta liga, selepas mengambil kira reputasi gah MU pada musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 6:26 PM