Firdaus Hashim


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menolak dakwaan untuk mengambil alih semula saingan Liga Malaysia (Liga-M) susulan penamatan kontrak penajaan Telekom Malaysia (TM).

Jelasnya, saingan liga tempatan yang kini diurus sepenuhnya oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah menunjukkan perubahan besar dalam menaikkan standard Liga-M.

Katanya, biarpun ada sedikit kebimbangan mengenai kemampuan kewangan MFL dalam memastikan tahap saingan liga kekal kompetitif, beliau percaya masalah berkenaan akan dapat diatasi sebaik berjaya mencari penaja baru.

"Selaku badan induk bola sepak negara, apa-apa yang berlaku dalam industri pasti membawa kesan kepada semua termasuk liga, pembangunan dan prestasi skuad kebangsaan.

"Kita sedar masalah ini (kehilangan tajaan TM) dengan liga diuruskan secara profesional oleh MFL di mana keseimbangan amat diperlukan dalam menjaga kebajikan semua pasukan.

"Kami juga bimbang tetapi kami yakin dan berharap MFL akan dapat mencari jalan penyelesaian untuk isu ini. Untuk ambil alih liga itu bukan dalam perancangan kami," katanya pada sidang media mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 di sini, semalam.

MFL sebelum ini menamatkan ikatan penajaan TM yang ditandatangani untuk lapan tahun bermula 2018 hingga 2025 dengan nilai tajaan keseluruhan berjumlah RM480 juta.

Keputusan itu diambil ekoran kegagalan syarikat gergasi telekomunikasi negara itu menjelaskan bayaran penajaan musim ini berjumlah RM60 juta bagi diagihkan kepada semua pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Malah, MFL turut bertindak mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Kita tak boleh kata yang disebabkan isu TM ini menunjukkan MFL gagal kerana isu ini mengenai pelanggaran kontrak. Jadi kita harus beri kepercayaan untuk mereka selesaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 9:51 PM
STUART Ramalingam dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-7 Sesi 2017-2021 di Hotel Equatorial Pulau Pinang, Bayan Lepas. FOTO/DANIAL SAAD