Irfan (kiri) kecewa dengan prestasi Kipre. FOTO NSTP
Malik Muhamad


PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mahu anak buahnya melupakan kekalahan pahit 1-0 kepada Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam.

Sebaliknya jurulatih berusia 68 tahun itu menuntut pemainnya menumpukan aksi pusingan kedua Piala FA bertemu pasukan Liga M3, Ultimate FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Selasa ini.

"Kekalahan kepada skuad The Red Giants, kelmarin itu perlu dilupakan segera pemain kerana misi kita seterusnya adalah mahu catat kemenangan bertemu pasukan Ultimate FC dalam saingan Piala FA Selasa ini.

"Bagaimanapun saya perlu pesan awal-awal kepada pemain supaya berwaspada dan tidak sesekali mengambil mudah pertemuan dengan pasukan Liga M3 itu bagi mengelak kita berputih mata di laman sendiri.

"Selain itu, saya mengharapkan pemain mencari jaringan awal bagi memberi tekanan kepada lawan dalam misi melangkah ke pusingan seterusnya," kata Irfan, kini tahun ketiga membimbing skuad Penyu.

Sebelum ini jadual perlawanan berlangsung di gelanggang lawan di Lembah Klang, namun disebabkan beberapa faktor, skuad Ultimate FC yang turut diperkuatkan bekas pertahanan TFC, Azlan Zainal, bersetuju beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Mengulas lanjut, Irfan yang terlalu kecewa dengan prestasi penjaring terbanyaknya, Kipre Tchetche atau dikenali sebagai 'Drogba Ganu' menggesa pemain kelahiran Ivory Coast itu mampu menamatkan kemarau jaringan musim ini.

"Setakat ini sudah tujuh perlawanan pemain itu gagal meledak sebarang jaringan, apa yang saya inginkan pemain itu harus bangkit segera membuktikan prestasinya sebagai antara penyerang terbaik musim lalu," katanya.

Musim lalu, pemain paling mahal skuad Penyu itu meledak 24 gol sepanjang saingan Liga Malaysia termasuk Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 12:55 PM