SKUAD Arsenal ketika berada di Dubai. -Foto Arsenal.com
AFP

UNAI Emery mencabar Denis Suarez supaya akhirnya mencetus impak ketika Arsenal berusaha melonjak kembali ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle, awal pagi Selasa ini.

Suarez bergelut sejak perpindahan secara pinjaman dari Barcelona Januari lalu dan pemain tengah Sepanyol itu masih belum turun dalam kesebelasan utama aksi kompetitif buat Gunners.

Namun beberapa siri persembahan mengagumkan ketika kem latihan terbaru Arsenal di Dubai mungkin memberi peluang kepada pemain berusia 25 tahun itu untuk menyerlah apabila Newcastle bertandang ke Stadium Emirates.

Suarez bermain 90 minit dan mencipta gol buat Carl Jenkinson ketika Arsenal menang 3-2 ke atas Al Nasr pada aksi persahabatan.

Ketika Granit Xhaka berdepan ujian kecergasan dan Lucas Torreira digantung perlawanan, bos Arsenal, Emery teruja dengan peningkatan Suarez.

“Dia OK untuk bermula dalam kesebelasan utama, untuk memberikan kami impak ini,” kata Emery.

“Kami memerlukan setiap orang, setiap pemain bagi perlawanan berikutnya.

“Kami memutuskan untuk berlatih di luar negara selama empat hari dan bermain perlawanan di Dubai. Tapi ia idea sama, semangat sama.”

Mengalahkan Newcastle akan memberikan Arsenal kemenangan ke-10 berturut-turut di laman sendiri, menyamai rekod dinikmati mereka pada 1997-98 ketika musim penuh pertama Arsene Wenger sebagai pengurus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 1:56 PM