Agensi

CRISTIANO Ronaldo kembali menjalani latihan tetapi bukan di padang bolasepak sebaliknya kolam renang untuk menguatkan otot dan tahap kecergasan.

Pemain Juventus itu turut melakukan latihan renang dengan menggunakan pemberat pada setiap bahagian pergelangan kakinya.

Bintang berusia 34 tahun itu memuat naik video dirinya berlatih selepas mengalami kesakitan otot ketika cuti rehat antarabangsa.

Dia mengalami kecederaan itu ketika Portugal seri 1-1 menentang Serbia menyebabkan bekas pemain Manchester United itu terpaksa dikeluarkan hanya selepas 30 minit beraksi.

Malah, bintang Portugal itu tidak akan diturunkan oleh Juventus untuk perlawanan pertama saingan suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Ajax Amsterdam sekiranya tidak cergas.

“Dia akan menjalani ujian lanjutan esok dan kami akan menilai keseluruhannya selepas itu,” kata bos Juventus, Massimiliano Allegri.

“Terdapat risiko dan banyak risiko yang dia akan terlepas perlawanan menentang Ajax, dia juga mengetahuinya dan dia juga tahu jika dia tidak cergas, dia tidak akan diturunkan di Amsterdam.”

Juventus akan bertandang ke Ajax untuk aksi pertama UCL pada 10 April sebelum menanti kunjungan kelab Belanda itu pada minggu berikutnya.

Ronaldo memberitahu media dia akan kembali beraksi dalam tempoh satu atau dua minggu selepas mengalami kecederaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 7:04 PM
Ronaldo menjalani latihan dengan menggunakan pemberat kaki. FOTO AFP/Youtube
Ronaldo menjalani latihan dengan menggunakan pemberat kaki. FOTO AFP/Youtube