Khairul Hafiz enggan komen. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


JAGUH pecut negara, Khairul Hafiz Jantan fokus kepada proses pemulihan kecederaan dirinya dalam misi mempertahankan emas 100 meter Sukan SEA di Filipina penghujung tahun nanti.

Raja pecut Sukan SEA 2017 berkenaan dijangka berdepan cabaran sengit mempertahankan gelaran menerusi kehadiran juara remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri yang mempamerkan larian bertenaga ketika memenangi Grand Prix Terbuka Malaysia 2019, malam tadi.

"Saya tidak mahu memberikan sebarang kenyataan (mengenai kejayaan Lalu).

Saya fokus kepada proses pemulihan kecederaan ketika ini.

"Saya hadir di Stadium Nasional melihat dia berlari semalam. Ok cuma saya tidak mahu mengulas lanjut," katanya.

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Kuala Lumpur itu, Lalu mencatatkan 10.20 saat untuk menjuarai acara 100m.

Dia jauh meninggalkan pemenang tempat kedua dari Malaysia, Zulfiqar Ismail yang mencatatkan 10.41s.

Manakala pada aksi final 100m di Sukan SEA 2017, atlet yang dikenali sebagai Speedy Jantan itu mencatatkan 10.38s untuk bergelar juara.

Khairul Hafiz menarik diri daripada Grand Prix Terbuka Malaysia 2019 susulan kecederaan lutut dan betis kanan serta dijangka kembali beraksi pada Jun nanti.

Atlet kelahiran Melaka itu adalah pemegang rekod kebangsaan dengan masa 10.18s yang dilakukan di SUKMA Sarawak pada 2016 manakala Lalu melakar catatan yang sama ketika menjuarai Kejohanan Remaja Dunia di Finland pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 7:34 PM