Nidzam tidak pandang mudah ancaman Kuching FA. FOTO NSTP


FELDA United FC menghormati Kuching FA apabila kedua-dua pasukan bertemu pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Negeri Sarawak, esok. 

Pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, biarpun kelab itu mengharungi saingan Liga M3 musim ini, prestasi kelab dari Sarawak itu tidak boleh diketepikan. 

"Pada masa sama, Kuching FA turut dibarisi pemain berpengalaman dan sebagai kelab beraksi dalam Liga Super, FELDA United tetap hormati lawan. 

"Oleh itu, misi utama adalah menewaskan tuan rumah untuk ke pusingan seterusnya dan The Fighters tiada masalah bermain waktu petang," katanya. 

Justeru, Mohd Nidzam berkata, skuad kendaliannya yang tewas 1-3 kepada Pahang dalam saingan Liga Super kelmarin, sudah melupakan kekalahan itu. 

"Fokus kami mencatat kemenangan ke atas Kuching FA untuk membawa FELDA United mencapai keputusan terbaik dalam saingan Piala FA musim ini," katanya. 

Antara pemain berpengalaman beraksi bersama Kuching FA ialah bekas pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie dan bekas penjaga gol Pahang dan Sarawak, Mohd Iqbal Suhaimi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 2:58 PM