LACAZETTE (kiri) dan Pierre-Emerick Aubameyang meraikan gol ketika mengalahkan Newcastle di Emirates, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

UNAI Emery mencabar pasukannya Arsenal supaya mencipta sejarah mereka sendiri selepas melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 ke atas Newcastle, awal pagi tadi.

Jaringan Aaron Ramsey pada babak pertama (minit ke-30) disusuli gol pembunuh Alexandre Lacazette pada hujung saingan (minit ke-83) di Stadium Emirates, meneruskan peningkatan mengagumkan Arsenal di bawah kendalian Emery.

Anak buah Emery melonjak dua mata di depan pasukan tangga keempat Tottenham dan Manchester United yang menghuni tangga kelima untuk mencerahkan peluang mereka layak ke Liga Juara-Juara menerusi penamat empat terbaik dengan berbaki tujuh perlawanan.

Ia kali pertama Arsenal menduduki tangga ketiga sejak April 2017, membuktikan peningkatan mereka sejak bekas bos Paris Saint-Germain, Emery menggantikan Arsene Wenger hujung musim lalu.


RAMSEY (tiga kiri) menjaringkan gol pembukaan buat Gunners. — FOTO AFP

Gol kelima Ramsey musim ini yang kedua buat pemain tengah Wales itu sejak dia menandatangani perjanjian prakontrak lumayan untuk menyertai Juventus hujung musim ini.

Namun, ketika Ramsey tidak berada dalam perancangan jangka panjang Emery, masa depan masih kelihatan cerah buat Arsenal, yang mencatat kemenangan ke-10 berturut-turut di laman sendiri sejak kali terakhir dari Disember 1997 hingga Mei 1998.

Arsenal menamatkan kempen dengan 63 mata pada musim terakhir Wenger, namun Emery sudah menyamai pungutan mata itu dengan berbaki tujuh aksi.

“Ia satu sejarah baru. Kami menciptanya dengan cara sendiri. Sasaran kami amat jelas,” kata Emery.

“Kami berjaya mencipta suasana meriah di sini. Kami bertindak bagus ketika ini, mentaliti yang bagus dalam kalangan pemain.

“Kami meningkat dan makin berkembang, tapi kami sedar ia sukar. Tottenham, Chelsea dan Manchester United akan menang banyak perlawanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 7:40 AM