Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berjaya mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Ferzalfie Fauzi


PASANGAN beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berjaya mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas menumpaskan wakil Jepun, Kohei Gondo-Ayane Kurihara.

Bagaimanapun, kemenangan 21-13, 21-19 itu masih belum memberikan kelegaan buat Liu Ying yang mengakui banyak melakukan kesilapan mudah pada aksi di Arena Axiata, Kuala Lumpur, hari ini.

"Sebenarnya saya kurang berpuas hati hari ini, ada beberapa mata yang mudah untuk kami raih tapi saya terlepas akibat kesilapan sendiri," katanya kepada media selepas perlawanan tamat.

Peng Soon-Liu Ying yang juga pilihan kelima kejohanan bakal berdepan gandingan Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet di pusingan kedua Khamis ini.

Turut mara ialah pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong selepas berjaya mencatat kemenangan straight set ke atas Tin Isriyanet-Kittisak Namdash dari Thailand 21-14, 21-18.

Menanti mereka di pusingan kedua ialah pilihan ketiga dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda yang sebelum itu menumpaskan Huang Kaixiang-Wang Zekang dari China 21-14, 21-18.

Sementara itu, pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei tumpas kepada Marcus Ellis-Lauren Smith 15-21, 13-21 dan beregu profesional, Arif Latif-Azriyn Ayub juga mengalami nasib sama selepas tunduk kepada wakil China, Liu Cheng-Zhang Nan 18-21, 21-15, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 10:20 PM