GOL sendiri Smalling (kiri) memastikan kemenangan Wolves di Molineux, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
Reuters

WOLVERHAMPTON Wanderers mengulangi kemenangan pada Piala FA ke atas Manchester United kendalian Ole Gunnar Solkjaer terima kasih kepada gol sendiri Chris Smalling yang membolehkan mereka bangkit menang 2-1 pada aksi menarik Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Keputusan itu meninggalkan United di tangga kelima dengan 61 mata, di belakang Tottenham Hotspur menerusi perbezaan gol, sekali gus menjejaskan harapan mereka mengakhiri musim dalam kelompok empat teratas serta layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Keputusan itu juga merunsingkan mereka sebelum berdepan Barcelona pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara minggu depan.

“Kami mencipta kejatuhan sendiri... tapi jika tidak kerana penjaga gol mereka, kami patut menang perlawanan ini,” ujar Solskjaer.

JOTA menjaringkan gol penyamaan Wolves. — FOTO Reuters

Sebaliknya United, yang beraksi 10 pemain sejak minit ke-57 selepas Ashley Young dibuang padang kerana kad kuning kedua, bermula dengan cemerlang.

Tandukan Romelu Lukaku dari jarak dekat diselamatkan Rui Patricio sebelum pemain tengah Scotland, Scott McTominay meletakkan mereka di depan dengan rembatan leret dari luar kotak penalti pada minit ke-13. Ia gol pertamanya selepas 41 penampilan buat kelab itu dalam semua pertandingan.

Tidak terjejas dan menampilkan pasukan terkuat di sebalik aksi separuh akhir Piala FA menentang Watford Sabtu ini, Wolves pantas mencipta peluang dalam cuaca sejuk dan hujan gerimis di Molineux.

Penyerang Portugis, Diogo Jota menjaringkan gol penyamaan dari jarak dekat pada minit ke-25 selepas Fred hilang kawalan bola dan Raul Jimenez bijak mengumpan kepadanya.

McTOMINAY meletakkan United di depan pada awal babak pertama. — FOTO Reuters

Namun perlawanan itu berubah apabila pertahanan kanan Young dibuang padang kerana kad kuning kedua selepas mengasari Jota. Ia membolehkan Wolves mengasak dan pada minit ke-77 mereka meraih gol kemenangan apabila Smalling tidak sengaja tertampan masuk bola ke dalam jaring sendiri selepas pergelutan di depan pintu gol.

“Untuk melakukannya dua kali menentang pasukan menakjubkan... saya gembira dengan persembahan pemain dan sokongan peminat,” kata jurulatih Wolves, Nuno Espirito Santo.

“United memulakan perlawanan dengan amat bagus... kami bertindak balas dengan baik... tidak mudah bermain menentang Man United. Tiada rahsia. Kerja.”

Wolves, yang naik dari Liga Kejuaraan tahun lalu, kini di tangga ketujuh Liga Perdana dengan 47 mata, posisi impian buat peminat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 7:34 AM