PEMAIN Kedah, Renan Da Silva Alves (dua dari kanan) berebut bola dengan pemain Selangor United, Muhammad Nazrul Kamaruzaman (kanan) pada Piala FA, di Stadium Darul Aman. FOTO Amran Hamid.
Izzali Ismail

KETUA jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak mengakui Kedah tidak beraksi pada tahap sebenar selepas sekadar mencatat kemenangan tipis 3-2 keatas Selangor United dalam pertembungan penuh debaran dan sengit di Stadium Darul Aman semalam.

Ketinggalan dua gol pada awalnya hampir melenyapkan peluang skuadnya untuk mara ke pusingan ketiga Piala FA namun dengan kebangkitan semula pada babak kedua, skuad Lang Merah berjaya menghidupkan semula harapan dan seterusnya mencapai kemenangan.

"Ini bukan aksi Kedah yang sebenarnya dalam separuh masa pertama dan kita perlu mengambil ikhtibar dari perlawanan ini seperti yang saya katakan bahawa tidak mudah untuk kita apabila berhadapan kelab bawahan,” kata Aidil.

"Saya telah melakukan lima pertukaran pemain utama dalam perlawanan ini dan saya bertanggungjawab sepenuhnya kerana kita tahu kita tidak mampu menghadapi perlawanan selepas melalui perlawanan berintensiti tinggi berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) Jumaat lalu, kemudian hari ini dan diikuti satu lagi perlawanan Sabtu ini.

"Secara jujurnya tiga perlawanan dalam tempoh seminggu adalah sedikit sukar untuk pemain saya."

Aidil bagaimanapun mengakui Selangor United hadir dengan aksi terbaik, semangat tinggi serta berjaya menyukarkan Kedah sepanjang tempoh perlawanan itu.

Biarpun terpaksa berhempas pulas mengatasi Selangor United, Aidil memuji barisan pemainnya yang tidak menyerah kalah dan seterusnya membetulkan kesilapan serta menunjukkan semangat juang serta kebangkitan terutama dibabak kedua.

"Kesilapan memang biasa berlaku dalam bolasepak dan adakalanya pemain ternama pun pernah buat kesilapan, namun pada babak kedua perlawanan ini saya mencabar pemain saya untuk menunjukkan lebih banyak karakter dalam aksi mereka,” katanya.

"Saya mahu mereka tonjolkan keinginan tinggi dalam memburu kemenangan dan saya bersyukur pemain berjaya menunjukkan watak sebenar seperti yang saya inginkan pada babak kedua.”

Aidil bagaimanapun menyatakan beliau tidak akan menurunkan kombinasi serta formasi pemain seperti malam ini untuk perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur Sabtu ini dan sebaliknya akan memberi tumpuan bagi pemilihan pemain yang bersedia seratus peratus untuk beraksi.

"Menentang Kuala Lumpur, kita bakal berdepan cabaran di tempat lawan dan memerlukan perancangan yang lebih baik dan saya jangkakan tiada jalan yang mudah selain terus bekerja keras memperbaiki kelemahan serta meningkatkan prestasi." katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 12:30 PM