Goh Jin Wei. FOTO Syarafiq Abd Samad.
BERNAMA

PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei tidak mahu menggunakan alasan kecederaan menyebabkan dia terkandas di pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia hari ini.

Pada perlawanan kedua itu, Jin Wei tetap memberikan tentangan sengit menentang Pornpawee Chochuwong dari Thailand biarpun tewas 16-21, 21-12, 10-21 dalam pertarungan hampir sejam di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil.

Jin Wei yang baru pulih daripada kecederaan hamstring tiga minggu lalu, mengakui beliau tidak berpuas hati dengan prestasinya di sini, namun tidak akan berputus asa untuk kembali kompetitif pada kejohanan lain selepas ini.

“Saya ambil kekalahan ini sebagai satu pengajaran. Banyak perlu diperbaiki terutamanya taktikal permainan.

“Saya tidak boleh kaitkan kekalahan dengan kecederaan kerana saya perlu bertanggungjawab dalam memberikan prestasi yang bagus,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Dalam saingan perseorangan wanita, pemain pilihan utama, Tai Tzu Ying dari Taiwan mengekalkan rentak kemenangan selepas menewaskan Busanan Ongbamrungphan dari Thailand dan akan membuat perhitungan dengan seorang lagi pemain Thailand, Ratchanok Intanon pada suku akhir esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 9:43 PM