Kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah meraikan jaringan menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat. FOTO Rasul Azli Samad.
Nazri Abu Bakar


SEAN Eugene Selvaraj dan Mohd Amri Yahya masing-masing menjaringkan dua gol untuk membantu kemenangan dramatik Selangor ke atas Melaka United (MU) 4-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka, malam tadi.

Selangor mendahului tuan rumah menerusi bekas pemain kebangsaan Mohd Amri Yahya pada minit kelapan yang bijak merembat cantik dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Skuad tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi tolakan mudah Patrick Reichelt pada minit ke-20 selepas penjaga gol Farizal Harun gagal mengeluarkan bola hantaran jauh Kapten MU, Mohd Syukor Adan.

Amri menambah gol kedua pasukannya selepas menerima hantaran Mohd Syazwan Zainal pada minit ke-25 sekaligus mengejutkan penyokong tuan rumah.


Patrick Alcala Reichelt (kiri) menyekat kemaraan pemain Selangor, Prabakaran Kanadasan (kanan) dalam aksi Liga Super.

Babak kedua menyaksikan anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan menggandakan asakan bagi mengelak lemas di laman sendiri.

Hasilnya Reichelt sekali lagi berjaya menceriakan penyokong tuan rumah selepas menanduk masuk gol kedua peribadi pada minit ke-65 selepas menyambut sepakan percuma Safiq Rahim.

Kehadiran semula pemain tengah Darko Markovic selepas pulih daripada kecederaan nyata berbaloi buat tuan rumah selepas dia merembat masuk gol ketiga pasukannya pada minit ke-71 hasil hantaran Anselmo Casagrande.

Pemain gantian Sean Eugene Selvaraj akhirnya menjadi penyelamat pasukan daripada tewas selepas menanduk masuk gol ketiga dan keempat hasil hantaran Fandi Othman pada minit ke-88 dan 90 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 11:31 PM