GAYA Kean selepas menjaringkan gol kemenangan Juve di Turin. - FOTO AFP
AFP

JUVENTUS semakin hampir menjulang kejuaraan Serie A buat kali kelapan berturut-turut selepas jaringan bintang remaja Moise Kean menewaskan AC Milan 2-1 di Stadium Juventus, awal pagi tadi.

Kean yang menjadi mangsa ejekan perkauman di Cagliari minggu ini masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84 yang juga jaringan kelimanya musim ini sekali gus melonjakkan Juventus dengan kelebihan 21 mata di puncak liga.

Gergasi Turin itu bakal mengesahkan Scudetto ke-35 milik mereka walaupun masih berbaki tujuh perlawanan jika pasukan di tangga kedua Napoli tewas kepada Genoa di tempat sendiri dalam perlawanan awal pagi esok.

Juventus beraksi tanpa penyerang Cristiano Ronaldo yang masih dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan paha menjelang aksi peringkat pertama suku akhir Liga Juara-Juara menentang Ajax.

Tetapi Kean yang berusia 19 tahun pantas mencuri tumpuan dengan ketiadaan bintang Portugal itu yang bergelut untuk cergas bagi menghadapi aksi di Amsterdampada awal pagi Khamis ini.

"Malah hari ini Kean masuk dan menjaringkan gol, dia memang bagus,” kata jurulatih Massimiliano Allegri mengenai pemain itu yang menjaringkan dua gol untuk Itali dalam aksi kelayakan Euro 2020.

"Dia beraksi sangat baik tetapi biarkan dia bertenang dahulu. Adakah dia akan beraksi menentang Ajax? Kita tunggu dulu, pemain gantian sangat penting seperti kita lihat hari ini.”

Krzysztof Piatek meletakkan AC Milan di depan lima minit sebelaum rehat untuk jaringan ke-21nya musim ini sebelum Dybala menyamakan kedudukan buat tuan rumah menerusi sepakan penalti pada minit ke-60 selepas dia dikasari Mateo Musacchio.

Kean masuk menggantikan Dybala dan menjadi wira Juventus dengan merembat jaringan kemenangan pada minit ke-84.

Kekalahan Milan menyukarkan peluang mereka merebut slot Liga Juara-Juara selepas hanya meraih satu mata daripada empat aksi terakhir Serie A.

Skuad Gennaro Gattuso kini berada di tangga keempat namun boleh dirampas Atalanta yang satu mata di belakang mampu menewaskan Inter Milan awal pagi esok.

Roma yang juga mengidam slot Liga Juara-Juara kembali meraih rentak kemenangan selepas kapten Daniele De Rossi menjaringkan gol tunggal menewaskan Sampdoria sekali gus menduduki tangga keenam, sama mata dengan Atalanta.

"Kami masih berpeluang layak ke Liga Juara-Juara jika menewaskan Lazio pada Sabtu depan,” kata Gattuso yang menyasarkan aksi Liga Juara-Juara pertama sejak musim 2013-14.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 7:51 AM