Harrif (kiri) juara Peringkat kedua LTdL dari Senawang ke Dataran Pahlawan, Melaka. FOTO NSTP/ROSDAN WAHID.
Azlan Muhammad Zain


PAKAR pecut Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh memastikan penguasaan pasukan tempatan pada peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019.

Dia muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat beramai-ramai di Dataran Pahlawan Melaka selepas saingan 200.6km bermula dari Senawang, Negeri Sembilan.

Harrif mencatat masa empat jam 53 minit 20 saat.

Pencapaian itu membolehkan dia muncul pelumba tempatan kedua selepas Anuar Manan memenangi peringkat perlumbaan pada edisi 2010.

"Saya kayuh abih reng (sehabis kuat) untuk menang buat kali pertama di LTdL," katanya selepas tiba di garis penamat.

Tempat kedua diraih Raja Pecut 2018, Andrea Guardini dari Bardiani-CSF manakala Kazushige Kuboki dari skuad kebangsaan Jepun, ketiga.

Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Marcus Culey, pemenang peringkat pertama semalam mengekalkan jersi kuning mengumpul sembilan jam 13 minit 47 saat.

Pelumba Australia itu turut mengekalkan jersi Raja Pecut dengan 21 mata.

Angus Lyons dari Oliver's Real Food terus menyarung jersi merah dengan 34 mata manakala Kim Jihun dari KSPO meraih jersi pelumba terbaik Asia dalam masa sembilan jam 14 minit 03 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 6:52 PM