KANE bertembung dengan Delph yang menyebabkan kecederaan buku lalinya. - FOTO Reuters
AFP

PENYERANG Tottenham, Harry Kane tekad kembali dengan lebih kuat selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara.

Kane terhincut-hincut keluar padang selepas bertembung dengan rakan sepasukan England, Fabian Delph ketika menang 1-0 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Tottenham Hotspur.

Kecederaannya tampak serius dengan Kane terpaksa dipapah meninggalkan padang dan petugas perubatan hanya akan melakukan ‘scan’ yang dijangka esok selepas bengkak di buku lali susut.

"Kecederaan memang mengecewakan tetapi ia memberi peluang anda kembali dengan lebih kuat,” kata Kane dalam Twitternya.

"Penamat cemerlang dan kami menang!”

Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino mengakui kecederaan itu mungkin mengakhiri karier kapten England itu musim ini sekali gus boleh menjejaskan harapan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara dan juga peringkat kelayakan musim depan dengan Tottenham kini bergelut dalam kelompok empat teratas liga.

"Sangat, sangat menyedihkan. Kedudukan menjadi sangat sukar dan kami pasti terasa kehilangannya, mungkin untuk sepanjang baki musim ini,” kata jurulatih Tottenham dari Argentina itu.

Spurs sudah pasti menyandarkan harapan kepada Son Heung-min untuk memburu gol seperti dilakukan ketika menjaringkan gol kemenangan menewaskan City selepas Kane meninggalkan padang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 11:45 PM