TCHETCHE (kanan) diasak pemain PKNP FC, Amani Santos Aguinaldo di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu lalu. - FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad

WALAUPUN kecewa dengan prestasi merudum penyerang utama skuad Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche yang kemarau jaringan selepas lapan perlawanan, pemangku ketua jurulatih, Mohamad Nik masih mahu memberi peluang kepada pemain itu untuk membuktikan kemampuan sebenar.

"Sayapun sedih dengan pemain itu (Tchetche) yang terus buntu menghasilkan jaringan. Dia sudah berusaha sedaya mungkin untuk cuba dapatkan gol termasuk melakukan latihan tambahan untuk mengembalikan semula momentum sebagai penjaring gol seperti musim lalu.

"Namun setakat ini jaringan masih belum menjelma, apa yang kami harapkan pemain itu perlu berusaha lebih gigih lagi untuk mendapatkan gol pertamanya terutama bertemu Kedah pada Jumaat ini," katanya.

Musim lalu bekas pemain kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu mencuri tumpuan apabila muncul penjaring kedua terbanyak Liga Super dengan 14 gol dan keseluruhannya 24 gol termasuk dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia.

Bercakap sama ada penyerang itu kini berada dalam 'bahaya' kerana masih gagal mempamerkan belang sebenar, Mohamad enggan mengulas kerana masih memberi peluang kepada pemain itu untuk menggilap semula ketajaman sentuhan penyudah.

“Kita masih menilai dan beri peluang kepada pemain itu untuk menyerlah biarpun sudah lapan perlawanan tanpa sebarang gol, lagipun jendela kedua perpindahan pemain masih panjang lagi.

"Namun begitu dia tidak boleh berasa selesa sebaliknya perlu lebih tajam untuk memburu gol," kata Mohamad yang mengakui terkilan dengan prestasi teruk pasukannya ketika tunduk 1-2 kepada PKNP FC di laman sendiri Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 12:08 AM