MOURA menjaringkan gol keempat melepasi jangkauan penjaga gol Huddersfield, Ben Hamer. - FOTO AFP
Reuters

PENYERANG Tottenham Hotspur dari Brazil Lucas Moura menjaringkan hatrik ketika menewaskan pasukan yang sudah tersingkir Huddersfield Town 4-0 sebentar tadi sekali gus mencerahkan harapan tuan rumah menduduki kelompok empat teratas Liga Perdana.

Spurs beraksi tanpa Harry Kane dan Dele Alli di stadium baharu mereka tetapi tiga jaringan Lucas selepas gol awal Victor Wanyama menyerlahkan dominasi Spurs ke atas kelab bawahan itu.

Kemenangan itu melonjakkan Spurs ke tangga ketiga, satu mata mengatasi Chelsea dan empat mata mengatasi pasukan di tangga kelima Arsenal yang berkelebihan satu perlawanan.

Tottenham melakukan tujuh pertukaran ke atas skuad yang menewaskan Manchester City 1-0 dalam aksi Liga Juara-Juara dengan lebih menumpukan kepada saingan peringkat kedua suku akhir pada Khamis ini.

Wanyama meletakkan Spurs di depan pada minit ke-24 selepas mendapat hantaran Ben Davies dan memperdayakan penjaga gol Ben Hamer sebelum menolak bola masuk ke gawang.

Tiga minit kemudian tuan rumah melebarkan kedudukan menerusi rembatan kencang Lucas dari sebelah kanan kotak penalti selepas mendapat hantaran Moussa Sissoko.

Percubaan Fernando Llorente terkena palang selepas rehat dan sepakan percuma lewat perlawanan oleh pemain Huddersfield, Juninho Bacuna diselamatkan penjaga gol tuan rumah Hugo Lloris sebelum rembatan Christian Eriksen turut terkena tiang dalam satu serangan balas.

Lucas menjaringkan gol keduanya pada minit ke-87 menerusi rembatan kencang selepas mendapat hantaran Eriksen dari sebelah kanan dan melengkapkan kemenangan bergaya Spurs pada masa kecederaan dengan percubaan yang gagal diselamatkan Hamer.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 10:15 PM