SUBAHAN (tengah) ditemu ramah wartawan selepas meninjau Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil yang menjadi venue Kejohanan FIH.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


PUSINGAN Akhir Siri Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) tetap perlu menggunakan teknologi rujukan video (video referral).

Demikian tegas Pengerusi Lembaga Pengadil Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Amarjit Singh selepas badan induk itu menolak untuk menggunakan rujukan video pada kejohanan yang juga kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.

Jelas Amarjit, rujukan video cukup penting kepada setiap pasukan yang bertanding kerana ia mampu memberi impak besar serta dapat mengubah keputusan pengadil di atas padang.

Rujukan video adalah teknologi untuk melihat ulang tayang semula insiden yang boleh dipohon pemain kepada pengadil dalam kawasan 23 meter bagi mendapatkan pukulan sudut penalti, penalti stroke dan mengesahkan atau membatalkan jaringan.

“Saya rasa semua kejohanan antarabangsa ketika ini menggunakan rujukan video seperti Liga Pro di Eropah serta Piala Sultan Azlan Shah. Jadi saya tak faham kenapa untuk Pusingan Akhir Siri FIH di Kuala Lumpur ia tak digunakan.

“Bagi saya ia adalah satu perkara baharu. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku. Sekarang kita pula terpaksa mengemukakan rayuan kepada mereka,” katanya.

Jelas beliau, sebenarnya bukan sesuatu yang membebankan untuk menggunakan rujukan video.

“Kita hanya memerlukan rakaman kamera dari rakan penyiar. Insiden itu kemudian dirujuk kepada pegawai yang menyaksikan ulang tayang di depan skrin televisyen sebelum keputusan muktamad dilakukan. Itu saja,” katanya.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal menerusi laporan Arena Metro semalam berharap FIH dapat mengkaji semula keputusan tidak membenarkan penggunaan teknologi itu.

Katanya, alasan yang diberikan oleh FIH iaitu tidak semua penganjur mempunyai kemudahan untuk teknologi rujukan video adalah lemah.

Keputusan FIH itu mencetuskan rasa kurang senang pengurusan dan pemain negara kerana ia dilihat sebagai satu langkah ke belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 7:10 AM