RONALDO nadi Juventus. FOTO/AFP
AFP

CRISTIANO Ronaldo akan mengetuai jentera serangan Juventus ketika mereka mahu segera menamatkan cabaran skuad muda Ajax pada aksi suku akhir kedua-dua pasukan yang terdesak menamatkan kekecewaan pada kempen Liga Juara-Juara.

Juventus memiliki kelebihan menerusi jaringan di tempat lawan menerusi gol ke-125 Ronaldo dalam aksi Liga Juara-Juara ketika seri 1-1 di Amsterdam namun jaringan pemain Ajax David Neres akan memastikan saingan lebih sengit buat kedua-dua pasukan seperti ulangan final di Turin pada 1973 dan 1996.

Juventus menangguhkan seketika kejuaraan kelapan Serie A berturut-turut demi memberi tumpuan terhadap saingan di Eropah.

Massimiliano Allegri menurunkan skuad muda menentang SPAL Sabtu lalu dan mereka tewas 1-2 apabila hanya satu mata diperlukan untuk menjulang satu lagi Scudetto.

“Lambat laun Scudetto akan tiba juga,” kata Allegri yang pasukannya mempunyai kelebihan 17 mata berbanding Napoli di tangga kedua dengan baki enam perlawanan.

“Jika kami meletakkan semua pemain utama kami, pasti lebih mudah untuk memenanginya tetapi kami ada sasaran untuk dicapai Selasa (awal pagi Rabu) ini.”

Juventus menjuarai Liga Juara-Juara dua kali, terbaharu ialah pada 1996 apabila menewaskan Ajax pada final.

Ajax yang menjulang gelaran sama empat kali, bergelar juara tiga kali berturut-turut pada 1973 dengan menewaskan Juventus, kali terakhir menjulangnya pada 1995.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 10:57 AM