SON (kanan) yakin galas tugas Kane. FOTO/AFP
AFP

SON Heung-min menegaskan dia sudah membuktikan dirinya mampu menggalas beban menggantikan Harry Kane dalam aksi Tottenham Hotspur di Liga Juara-Juara menentang Manchester City awal pagi Khamis.

Skuad Mauricio Pochettino melangkah ke Stadium Etihad untuk aksi kedua suku akhir dalam misi mempertahankan kelebihan 1-0.

Namun tugas Tottenham tampak sukar dengan kecederaan dialami Kane dan Dele Alli.

Kane dijangka terlepas aksi sepanjang baki musim ini selepas penyerang itu mengalami satu lagi kecederaan ligamen buku lali ketika aksi pertama menentang City manakala pemain tengah England, Alli juga dikhuatiri tidak beraksi apabila tulang tangannya retak dalam perlawanan itu.

Kehilangan dua pemain berpengaruh menjelang aksi kalah mati berdepan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu bakal menjadi tamparan hebat buat kebanyakan pasukan.

Namun penyerang Korea Selatan, Son membuktikan musim ini bahawa aksi tanpa Kane tidak akan menggugat misi mereka di pentas Eropah.

Son menjaringkan sembilan gol dalam 10 perlawanan tanpa kelibat Kane musim ini dan berkata: “Saya hanya menikmati bola sepak.”

“Bukan saja saya, semua orang patut menikmati perlawanan ini, menjaringkan gol dan menang.

“Kami tidak patut memberi tekanan terhadap diri berikutan situasi itu. Tiada yang lebih baik selain perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 8:47 AM