AZIZULHASNI intai ASN buat kali keempat. FOTO/NSTP
Azlan Muhammad Zain


JAGUH keirin dunia, Azizulhasni Awang dilihat berpeluang cerah meraih anugerah Olahragawan Kebangsaan di Anugerah Sukan Negara (ASN) 2018 buat kali keempat.

Sekiranya berjaya dan menjadi pilihan Jawatankuasa Pemilihan ASN 2018, The Pocketrocketman akan ‘ ‘menyertai’ kelab elit sebagai pemenang terbanyak Olahragawan Kebangsaan selepas meraihnya pada 2009, 2010 dan 2017.

Dia akan menyamai pencapaian dua jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei dan Rashid Sidek serta atlet bina badan, Sazali Samad yang sudah empat kali terpilih sebagai pemenang sejak ASN mula diperkenalkan pada 1966.

"Saya bersyukur kerana tersenarai lagi untuk ASN 2018 dan berharap pencapaian meraih tiga pingat (emas, perak dan gangsa) di Sukan Asia 2018 di Jakarta mampu menobatkan saya sebagai pemenang nanti.

"Harapannya memang mahu menyamai pencapaian mereka (Chong Wei, Rashid dan Sazali) namun jika sebaliknya, saya akan terus mencuba," kata Azizulhasni yang kini menjalani latihan di Melbourne sebagai persiapan menghadapi Olimpik Tokyo.

Jaguh berusia 31 tahun itu cemerlang di Sukan Asia apabila meraih emas dalam acara pecut individu, perak dalam pecut berpasukan selain gangsa untuk keirin.

Trio pecut berpasukan yang dibarisinya bersama Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis turut melakar rekod baru Sukan Asia dengan 43.934s yang bertahan beberapa jam sebelum dipadamkan trio Jepun namun catatan itu memadamkan rekod kebangsaan yang berusia 10 tahun.

Selain itu, Azizulhasni turut meraih perak dan gangsa dalam keirin di siri Piala Dunia yang berlangsung di London dan Berlin.

Bagaimanapun Azizulhasni mengakui cabaran atlet lain turut sengit berdasarkan pencapaian yang diraih mereka pada tahun lalu.

Antara yang dilabel pencabar utama adalah Rafiq Ismail yang muncul juara dunia acara perseorangan lelaki di Kejohanan Bowling Lelaki Dunia di Hong Kong selain emas Sukan Asia Jakarta (Masters) dan pingat perak Sukan Asia (trio lelaki).

Turut memberi cabaran sengit adalah Mr Universe dan Mr Asia 2018 Syarul Azman Mahen Abdullah, pemenang emas pelayaran Sukan Asia Jakarta, Muhamad Fauzi Kamanshah serta pemain skuasy Mohd Nafiizwan Adnan yang meraih emas berpasukan Sukan Asia dan gangsa perseorangan Sukan Komanwel Gold Coast.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dilaporkan berkata, asas pemilihan menjurus kepada kecemerlangan atlet pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel serta kejohanan dunia sepanjang tahun lalu.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000 pada majlis yang dijadualkan pada 23 April nanti.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk berangkat ke majlis bagi mengiktiraf kejayaan cemerlang sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan pertubuhan sukan tanah air dengan 11 kategori dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 1:49 PM