RAFIQ (tengah) bersama Tun Ameerul (kiri) dan Adrian memperagakan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records yang diterima di Petaling Jaya, hari ini. — FOTO Owee Ah Chun
Meor Riduwan Meor Ahmad


KEJOHANAN boling Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-40 dari 26 April hingga 4 Mei ini menjanjikan saingan hebat dengan penampilan empat pemain boling profesional dari Amerika Syarikat.

Mereka adalah Andrew Anderson, Tom Daugherty, Kyle Troup dan Sean Rush yang juga antara 20 juara dunia dan benua termasuk dari Malaysia yang akan beraksi pada kejohanan kali ini.

Bagi kategori wanita turut menampilkan empat juara dunia termasuk tiga dari Indonesia iaitu Putty Armein, Aldila Indryati dan Nadia Pramanik selain Chan Suk Han dari Hong Kong.

Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Datuk Dr PS Nathan berkata, kehadiran pemain itu bukan saja menjanjikan saingan hebat, malah diharap dapat menyuntik ilmu untuk meningkatkan tahap persembahan pemain negara.


PEMAIN negara memperagakan jersi baharu ketika sidang media kejohanan Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-40, hari ini. — FOTO Owee Ah Chun

“Kami jemput pemain profesional bertaraf dunia ini untuk memberi pendedahan kepada pemain boling yang terpilih mewakili skuad kebangsaan.

“Mereka dapat lihat dan belajar kemahiran serta teknik pemain luar negara dan bukan hanya teknik pemain tempatan sahaja,” katanya.

Menurutnya, selepas dua tahun tidak dianjurkan kerana Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Pilihan Raya Umum Ke-14, kejohanan di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway itu juga menyaksikan hadiah wang tunai keseluruhan meningkat daripada RM362,500 kepada RM405,750.

Pada majlis sama, tiga pemain negara Rafiq Ismail, Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam dan Adrian Ang menerima sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records selepas meraih pingat emas pada Kejohanan Lelaki Dunia di Hong Kong tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 9:48 PM