SAFAWI (kiri) diasak pemain PKNS, Rodney Akwensivie (tengah) pada pusingan ketiga Piala FA di Larkin, malam ini. — FOTO Mohd Azren Jamaludin
Ifwan Tun Tuah
sukanteam@nstp.com.my


PKNS FC mengejutkan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mempamerkan aksi memberangsangkan di laman sendiri apabila menang 1-0 untuk mara ke suku akhir Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Walaupun bermula garang dan menguasai permainan, JDT tewas dengan serangan mengejut PKNS melalui gol Kpah Sherman pada minit ke-49 yang menewaskan penjaga gol Izham Tarmizi Roslan.

Terdahulu, rentak JDT yang rancak sejak separuh masa pertama diiringi sorakan dan nyanyian ribuan penyokong terbantut pada minit ke-10 apabila Kiko Insa dilayangkan kad merah selepas mengasari Faizat Ghazali.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain, JDT enggan mengecewakan penyokong yang tidak berhenti memberi sokongan dengan menguasai perlawanan dan melakukan beberapa percubaan menarik namun tidak menghasilkan gol.

Peluang terbaik JDT hadir pada minit ke-30 dan 31 melalui dua hantaran silang dari sebelah kanan namun Syafiq Ahmad gagal menyempurnakannya apabila penjaga gol lawan, Zarif Irfan Hashimuddin cemerlang menepis bola keluar.

Pada separuh masa kedua, PKNS menggandakan asakan sebelum Sherman mendapat peluang merembat hantaran Gabriel Guerra untuk memastikan kemenangan skuad Semut Merah.

JDT, juara Piala FA tiga tahun lalu, cuba menyamakan kedudukan namun segalanya seakan tidak menjadi.

Peluang terbaik skuad Harimau Selatan hadir pada minit ke-75 apabila Safawi Rasid merembat deras hantaran rakan sepasukan di dalam kotak penalti namun terkena kaki pemain lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 11:49 PM