PEMAIN Terengganu FC, TcheTche Kipre (kiri) diasak oleh pemain Felda United FC dalam Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Rozainah Zakaria
PEMAIN Terengganu FC, TcheTche Kipre (kiri) diasak oleh pemain Felda United FC dalam Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Rozainah Zakaria
Malik Muhamad


KEBANGKITAN aksi penyerang sensasi, Kipre Tchetche daripada 'tidur' menjadi kunci kejayaan skuad Terengganu FC (TFC) menamatkan episod kekalahan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super.

Selain itu, kerjasama berpasukan yang jitu dipamerkan pemain serta perubahan corak permainan membolehkan skuad Penyu merakam kemenangan ketiga musim ini selepas menundukkan FELDA United 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Itu rumusan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim yang memuji persembahan anak buahnya sambil menyifatkan mereka sudah kembali menemui rentak kemenangan.

"Apa yang penting malam ini (malam tadi) kita berjaya mengutip tiga mata selepas gagal melakukannya pada tiga perlawanan terakhir liga sebelum ini ketika bertemu Selangor, PKNP dan Kedah.

"Lebih gembira, persembahan Tchetche kian menjadi, dia berjaya menjaringkan dua gol selepas kekeringan jaringan pada sembilan perlawanan terdahulu dalam saingan liga.

"Saya percaya corak yang dipamerkan Tchetche yang kembali menyengat berjaya memberi motivasi kepada pemain lain dan juga dirinya untuk beraksi cemerlang terutama pada babak kedua selepas sedikit longgar pada separuh masa pertama," katanya.

Pada perlawanan itu, Tchetche yang digelar 'Drogba Ganu' menamatkan kemarau jaringannya dalam saingan Liga Super sejak sembilan perlawanan lalu selepas menghasilkan dua jaringan manakala gol saguhati skuad The Fighters dihasilkan Kei Ikeda.

Mengulas lanjut, Irfan bagaimanapun sedikit terkilan dengan prestasi pemain import dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov dan pemain sayapnya kerana gagal berfungsi dengan baik.

"Sanjar sepatutnya mampu menambah gol selepas memperoleh peluang terbaik, tapi dia gagal memanfaatkannya, manakala pemain sayap 'mati' sebelum kembali menemui rentak pada babak kedua," kata Irfan yang mengakui kehadiran Lee Tuck banyak membantu pasukannya selepas kembali pulih daripada kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 12:14 PM