FOTO Amran Hamid.
Oleh Izzali Ismail


WALAUPUN Kedah mengharungi jadual perlawanan padat sejak minggu lalu, ketua jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak tetap yakin pemainnya dapat mengekalkan tahap kecergasan yang diperlukan untuk aksi Liga Super menentang Melaka United (MU) di Stadium Hang Jebat malam esok.

"Mereka tidak dapat elak dari faktor keletihan, namun saya percaya dengan kemampuan serta tahap kecergasan pemain saya untuk terus fokus dalam misi memburu tiga mata bertemu MU esok,” kata Aidil.

"Saya mahu pemain 'melupakan' seketika Piala FA dan apa yang lebih penting adalah fokus, komitmen serta momentum yang ada kini perlu kita teruskan dalam Liga Super.

“Perancangan kita adalah memberi fokus pada setiap perlawanan pada satu masa dan kali ini kita akan memberi penekanan untuk misi penting di Melaka Ahad ini.”

Aidil turut berharap suntikan motivasi yang diperolehi melalui kemenangan keatas Terengganu FC (TFC) dan Petaling Jaya City FC (PJCFC) mampu menjadi pemangkin untuk mencari kemenangan di tempat lawan.

"Kejayaan melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala FA memberi anjakan semangat untuk semua pemain yang akan meneruskan aksi cemerlang seperti yang diinginkan,” katanya.

"Saya juga mahu pemain tidak memandang mudah pihak lawan kerana mereka memilki pemain penuh berpengalaman seperti Shukor Adan, Safiq Rahim dan lain-lain yang memiliki aura tersendiri sewaktu beraksi.

"Jadi pemain harus kekalkan rentak permainan terbaik yang mereka telah tunjukkan dan beraksi dengan penuh berdisiplin sebagai satu pasukan dalam menghadapi cabaran di tempat lawan.”

Skuad Lang Merah kini menduduki tangga ketiga carta Liga Super dengan mengumpul 15 mata dengan rekod empat kemenangan dan tiga seri, dibawah Johor Darul Ta’zim (JDT) (23 mata) dan Pahang (21 mata).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 12:52 PM