Pemain Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (kiri) cuba melepasi pemain Pahang, Herold Mark Goulan pada saingan Liga Super. FOTO Effendy Rashid.
Muhammad Apendy Issahak


PERAK dimalukan di gelanggang sendiri selepas tewas 0-1 kepada Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.

Skuad The Bos Gaurus bermula garang dengan asakan pada awal perlawanan namun gagal menemui penyudah.

Pelawat, Tok Gajah juga memiliki beberapa peluang untuk mendahului pada babak pertama termasuk percubaan Jose Eduardo atau lebih sinonim dengan panggilan Ze Love pada minit ke-37 yang dinafikan palang gol. Separuh masa pertama tamat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.

Babak kedua permainan semakin rancak dengan anak buah, Mehmed Durakovic cuba menghasilkan gol pendahuluan namun gagal.

Sebaliknya pasukan Pahang bimbingan jurulatih, Dollah Salleh berjaya memperoleh sepakan percuma pada minit ke-56 yang diambil Muhamad Nor Azam Abdul Azih dan berjaya disambar kapten pasukan, Matthew Davies sebelum membuat hantaran di depan pintu gol lalu disudahkan Mark Herold.

Gol berkenaan nyata menghangatkan lagi semangat tuan rumah untuk mencari gol penyamaan hingga mengakibatkan pemain lawan Muhamad Nor Azam menerima kad merah selepas dilayang kad kuning kedua pada minit ke-72.

The Bos Gaurus bagaimanapun gagal memanfaatkan kelebihan menentang Tok Gajah yang bermain 10 pemain dan keputusan kekal 1-0 hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 11:44 PM