X
RANKING skuad kebangsaan turun satu anak tangga ke 168 dunia. FOTO Hasriyasyah Sabudin
RANKING skuad kebangsaan turun satu anak tangga ke 168 dunia. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Walaupun kedudukan pasukan kebangsaan menurun daripada tempat ke-167 kepada 168, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak terlintas untuk menukar jurulatih Harimau Malaya dalam masa terdekat ini.

Malah, FAM masih menaruh harapan serta kepercayaan terhadap pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk merencana pasukan kebangsaan bagi menghadapi perlawanan antarabangsa nanti.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, setakat ini tiada keperluan untuk menggunakan jurulatih luar termasuk dari Jepun dan Korea Selatan memandangkan Cheng Hoe berjaya menggalas tanggungjawabnya dengan baik.

“Saya menghormati saranan legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun untuk menggunakan khidmat pengendali Jepun atau Korea Selatan bagi membawa pembaharuan kepada pasukan negara namun pada masa ini tiada perubahan akan dilakukan terhadap barisan kejurulatihan.

“Cheng Hoe berjaya mengendalikan Harimau Malaya dan taktikal yang diserapkan bekas pengendali Kedah itu ternyata berjaya membawa aura atau identiti bola sepak Malaysia ke dalam pasukan kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Chin Aun mencadangkan supaya FAM menggunakan khidmat jurulatih Jepun dan Korea Selatan bagi membimbing skuad Harimau Malaya.

Beliau berpandangan, pasukan bola sepak negara wajar mencontohi skuad Samurai Biru dan Taeguk Warriors yang kini menjadi antara pasukan paling berjaya di Asia menerusi pelbagai pencapaian termasuk layak beraksi di Piala Dunia.

Menurutnya, pada satu ketika, Malaysia menjadi rujukan Jepun apabila mewujudkan liga semi-pro pada 1989 selama empat tahun sebelum memulakan liga profesional pada 1994 namun kini, pasukan Samurai Biru jauh ke depan berbanding skuad negara.

Namun, cadangan itu ditolak Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan yang meminta pihak berkaitan meneliti semula pembangunan membabitkan akar umbi dengan melahirkan lebih ramai pemain berkualiti dan terbaik bagi menggalas cabaran untuk menyarung jersi kebangsaan.

Sathianathan berkata, kehadiran jurulatih asing kemungkinan besar tidak akan membantu membentuk pasukan kebangsaan yang lebih mantap jika pemain sedia ada tidak memiliki kualiti bertaraf profesional.

Sementara itu, Stuart berkata, FAM lebih berminat menjalinkan kerjasama dengan Jepun dan Korea Selatan membabitkan pembangunan bola sepak merangkumi struktur kepimpinan untuk melahirkan pemain berkualiti pada masa akan datang.

“Kemungkinan pada Ogos nanti kita akan menandatangani perjanjian dengan dua negara terbabit bagi membolehkan Malaysia berkongsi ilmu dengan mereka dalam memantapkan lagi skuad kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 8:30 AM
Kabinet Malaysia 2020