AZEEM catat 10.63s pada Kejohanan MSSM di Iskandar Puteri. — FOTO Fail
Azlan Muhammad Zain


PELARI pecut remaja negara, Azeem Fahmi kembali menggegar apabila unggul dalam acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga MSSM di Iskandar Puteri, Johor, semalam.

Atlet dari Perak itu jelas berada dalam kelas tersendiri apabila jauh meninggalkan pencabarnya bagi kategori lelaki bawah 15 tahun dengan masa 10.63 saat.

Video lariannya tular dengan catatan itu memperbaharui rekod kejohanan yang turut dipegangnya pada edisi lalu dengan 10.83s.

“Sebenarnya dia sudah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal dengan latihan yang dilakukannya sebelum pertandingan membuahkan hasil. Dia kelihatan lebih yakin,” kata jurulatihnya, Hazuan Zainal Abidin.


AZEEM (kanan) bersama kuartet negara pada Kejohanan Olahraga Sukan Sekolah ASEAN di Bukit Jalil, tahun lalu. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

Bulan lalu, atlet berusia 15 tahun itu turut mencuri tumpuan apabila meraih emas 100m Kejohanan Remaja Asia Tenggara di Ilagan, Filipina dengan melakar rekod temasya menerusi catatan 10.69 saat.

Dia dilihat sebagai permata baharu pelari pecut negara selepas pemegang rekod 100m kebangsaan dan emas Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi entri di akaun Twitter berkata: “Malaysia’s very own Usain Bolt. MSN dan ISN perlu pastikan bakat ini tidak dibazirkan.”

Selain emas 100m, Azeem memadamkan rekod lama kejohanan 6.83 meter dalam acara lompat jauh apabila melakukan 6.93m.

Bagaimanapun usaha Azeem meraih emas ketiga hari ini tidak kesampaian apabila meraih perak dalam acara 4x100m selepas kuartet Perak tewas kepada Sarawak.

Dia masih bersaing dalam acara 200m dan 4x400m pada kejohanan yang berakhir Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 6:00 PM