AKSI Zverev ketika menentang Jarry di Barcelona. - FOTO  Agensi
AKSI Zverev ketika menentang Jarry di Barcelona. - FOTO Agensi
AFP

ALEXANDER Zverev mengakui kehilangan kata-kata selepas pemain nombor tiga dunia itu tewas mengejut kepada pemain kurang ternama Nicolas Jarry di pusingan kedua Terbuka Barcelona, awal pagi tadi.

Zverev gagal memenangi perlawanan ketika di kedudukan mata akhir 6-5 dan mendahului 3-0 pada set akhir tie break sebelum tewas 3-6, 7-5, 7-6 (7/5) kepada Jarry yang menduduki ranking ke-81 dunia.

"Saya bermain dengan sangat buruk, bukan rahsia lagi,” kata Zverev.

"Aksi tenis peringkat paling rendah. Kebanyakan mata saya dapat akibat kesilapan lawan.”

Jarry pula menewaskan pemain Sepanyol, Marcel Granollers pada pusingan pertama sebelum menentang Zverev yang dianggap bintang masa depan perseorangan lelaki.

Pemain Chile itu mengejutkan Marin Cilic di Shanghai and Dominic Thiem di Hamburg tahun lalu tetapi kemenangan ke atas Zverev adalah yang terbesar dalam kariernya sebulan sebelum bermula Terbuka Perancis.

Zverev berusia 22 tahun menewaskan Roger Federer dan Novak Djokovic sebelum menjuarai Finals ATP hujung tahun tetapi gagal mengekalkan momentum selepas itu.

Dia tewas pusingan keempat di Terbuka Australia pada Januari lalu dan kini gagal menang lebih daripada satu perlawanan dalam lima kejohanan berturut-turut.

Jarry akan menentang pemenang di antara pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov dan pemain veteran Sepanyol, Fernando Verdasco di pusingan ketiga.

Bekas juara Barcelona 2014 and 2015 dari Jepun, Kei Nishikori yang turut mengalami kemerosotan prestasi sejak beberapa minggu lalu t bangkit daripada permulaan hambar sebelum menewaskan pemain Amerika Syarikat, Taylor Fritz 7-5, 6-2.

Pilihan utama Rafael Nadal memulakan misi mempertahankan trofi Terbuka Barcelona buat kali ke-12 dengan menentang pemain Argentina, Leonardo Mayer hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 9:35 AM